Thursday, June 11, 2015

AMARAN UNTUK PENYEBAR DAN PENERIMA MEDIA DI ALAM SOSIAL MAYA

“Mesej berantai”, “kapsyen”, gambar-gambar, video dan seumpamanya, pada alaf baru ini seolah mengambil peranan kutubkhanah sebagai gudang ilmu.  Manusia tidak perlu lagi menghabiskan masa menelaah bahan bacaan apatahlagi membazirkan tenaga berjumpa guru-guru yang berwibawa.  Semuanya ada di hujung jari.  Hanya perlu bertanya kepada lebai “google”, dia akan menilik. Dalam tempoh beberapa saat dapatlah maklumat.

Saya kurang pasti samaada fenomena ini menjadikan manusia alaf baru sebagai manusia yang berpengetahuan tinggi atau penyimpan maklumat mentah?; samaada menjadi penelan-maklumat atau penganalisis ulung?; samaada menjadi penyebar hikmah atau penerus fitnah-fitnah? Lebih menyedihkan apabila mereka yang berpelajaran tinggi semakin tak acuh kepada disiplin ilmu dan kurang bertanggungjawab.  Sebar maklumat tanpa meneliti kesan kepada masyarakat.  Maklumat yang dipanjang-panjangkan pula tidak dipaut (missing link). Bahkan mereka menjadi sebahagian daripada penyampai maklumat mentah. 

Sebagai contoh; Saya mendapat mesej dari kenalan group dalam sebuah Apps  penyebaran berita tentang batu permata yang membanjiri pantai negara Maghribi.  Penyebar itu pada mulanya tidak menyertakan link sehinggalah diminta oleh rakan-rakan grup, barulah dia menyatakan pautan.  Saya menasihati diri sendiri dan anda semua agar meneliti terlebih dahulu kesahihannya sebelum mengambil apa-apa tindakan termasuk menyebarkannya.  Sekurang-kurangnya - jika keberatan meneliti- sertakanlah pautan supaya penerima maklumat lain dapat meneliti kesahihannya kelak.

Dan, kita harus berlapang dada dalam menanggapi maklumat itu.  Boleh jadi maklumat itu benar dan boleh jadi salah. Begitu juga kita harus berlapang dada mendengar atau membaca kritikan yang dilakukan oleh pengamat-pengamat lain.

Cuma, kebimbangan saya ialah apabila kaum terpelajar – apatahlagi – pendidik Negara ini menjadi lemah (atau mungkin jadi pemalas) dalam mendepani fenomena ini.  Semangat membela kebenaran akan semakin lesu.  Menelan sahaja maklumat tanpa sedikitpun penganalisaan kendiri.  Kaum ini harus sentiasa waspada bukan tumpang sekaki kerana masyarakat dahagakan kebenaran dan maklumat yang sahih.  Ambillah contoh budaya dalam tradisi pengumpulan Hadith Nabi Muhammad s.a.w.  Para ilmuan yang mengumpul hadith-hadith tidak wewenang menerima pembawa Hadith nabi.  Mereka tidak melatah tunduk akur seandainya ada orang membawa lembing kata “sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam…” seraya telan bulat-bulat.  Akan tetapi mereka menganalisa riwayat dan pembawa riwayat.  Budaya sebeginilah yang menjadikan sesebuah Negara maju di mata dunia.  Budaya inilah yang menjadikan generasi awal kurun Islam cemerlang.  Saya yakin dan percaya budaya itulah yang menjadi bahagian yang Tuhan firmankan sebagai “rahmat ke seluruh alam”.

Kita berada di alaf baru, budaya baru dan peredaran masa yang laju.  Namun tidak bermakna sikap dan disiplin ilmu harus ditinggalkan.  Iktibari dan pelajari tradisi klasik dan binalah semangat zaman kini (zeitgeist) agar kita mengungguli dunia timur dan barat. Rahmat ke seleruh alam!


Maka, sekali lagi ditegaskan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk kita menyebarkan media-media di alam sosial maya atau menerimanya namun penganalisaan dan kritikan bermanfaat harus disertakan. Jika malas, lebih baik jangan sebar.  Masyarakat sosial maya harus berlapang dada dalam menerima kritikan dan analisa sepertimana yang disinggung tadi.  Manfaatnya, budaya ilmu tidak lesu bahkan berkembang dengan baik.