Friday, December 18, 2015

Arakian bermulanya hamba bertemu kitab ini maka gembiralah seluruh isi bumi jiwa ini tak terkatanya bagai orang kemengantukan disorongnya bantal empuk lalu tidur nyenyak yang mana Allah subhanahu wa taala sahaja ketahuinya (adapun) hamba menulis ini bukan hanya untuk menceritakan hikayat tuan yang masyhur serata dunia Abdullah munsyi akan tetapi hamba terasa sedikit gelihatinya mengenangkan hikayat2 datuk nenek kita yang sukar kedapatan di toko2 buku supaya kita mudah membaca namun sebaliknya kedapatan hikayat yang sudah dialihbahasakan ke bahasa bangsa yang pernah menjajah tanahair tok nek kita yaitu bahasa inggeris makanya dibaca jugalah hikayat inggeris ini sehinggalah datang karyawan melayu mengusahakan karya abdullah ini diperturunkan dari bahasa aslinya Wallahu ta'ala a'lam bissawab wailihi marji'u wal ma'ab.

Tuesday, December 15, 2015

Generous People

Wah! Pemurah rakyat Malaysia. Bukan senang nak masuk ranking top 10...

Aku setuju dengan kajian ni.

Tiap-tiap kali makan di kedai, suap satu mulut, datang orang jual tisu muka. Sambung makan, datang lagi orang minta derma masjid/surau. Sambung makan,datang pula dan begitulah seterusnya.

Saya tak menyesal menderma. Kita pun tak tau sejauh mana 'keperluan' atau niat mereka. Cuma,saya cadangkan,mungkin Pihak Berkuasa Tempatan boleh tingkatkan lagi rondaan atau ambil tindakan yang wajar. Untuk kebaikan semua pihak.

Monday, April 13, 2015

Andainya...

Andaikata Yaaqub (alaihissalam) tahu bahawa satu hari nanti dia akan bertemu semula dengan anaknya Yusuf (alaihissalam), sudah pasti beliau tidak akan menangis teresak-esak sehingga buta matanya. Alangkah gembiranya dapat menatap lagi wajah anaknya di kala pertemuan semula itu. Dan mungkin abang-abang Yusuf tidak akan membuangnya ke dalam perigi buta bahkan mereka sentiasa membuat kawan dengan Yusuf sehinggalah Yusuf menjadi menteri di negeri Mesir itu.

Andaikata Yunus (alaihissalam) tahu bahawa dia akan diundi untuk terjun ke dalam laut lalu ditelan hidup oleh ikan paus, mungkin sang nabi ini tidak akan membawa diri keluar dari kaumnya. Apa yang beliau alami adalah ketakutan, kegelapan dan bahaya terhadam bersama asid enzim perut ikan paus.

Andaikata Muhammad (sollaLlahu alaihi wa sallam) tahu bahawa medan tempur Badar itu dimenangi oleh beliau dan para sahabatnya, tentu sang nabi dan sahabat-sahabatnya keluar dengan keyakinan yang 100 peratus.  Tetapi, beliau rasa antara yakin dan gusar. Gusar andai kaum kafir mekah mengalahkan mereka, pasti tiada lagi orang yang akan menyembah Allah di muka bumi ini. Lihatlah melalui doanya sebelum bertempur di medan Badar.

Namun, Yaaqub menangis teresak-esak kehilangan anak tercinta. Yunus berdoa dengan penyesalan di hati “sesungguhnya aku berasal dari golongan orang-orang yang menzalimi diri”. Muhammad gusar dengan bilangan tenteranya yang jauh lebih sedikit berbanding kuffar Mekah. Belum ada peperangan tentera yang kecil mengalahkan tentera yang besar kerana itulah sang nabi gusar.  Nah, semua mereka tidak tahu. Harus memerah fikiran mencari cara yang berhikmah, menyelesaikan permasalahan dan tentangan terhadap usaha dakwah mereka. Walaupun wahyu bisa turun setiap saat, Tuhan bisa berbicara dengan mereka terus-menerus seperti Musa (alaihissalam) namun itu tidak berlaku. Bahkan Musa yang berkata-kata terus dengan Allah pun mengalami perasaan ‘tidak tahu nak buat bagaimana, tidak tahu apa yang akan terjadi’.

Begitulah nabi-nabi dan rasul-rasul (alaihimussolatu wassalam) mengajak kaum mereka ke arah pencerahan jiwa, pemurnian akal budi, kemuliaan manusiawi dan peng-esa-an Tuhan. Panggilan ke jalan Allah dalam diri mereka yang tidak terlepas dari sifat kemanusiaan. Ya, mereka manusia biasa seperti kamu. Harus diingat, mukjizat tidak diminta-minta tetapi dianugerahkan kepada sesiapa di antara mereka namun tidak juga mengubah sifat kemanusiaan. Mereka juga bukanlah raja atau sultan (kecuali beberapa orang sahaja seperti Sulaiman alaihissalam) yang mewarisi pemerintahan hingga ke hari ini, “illa rasulallah”; melainkan mereka hanyalah manusia dipilih menjadi Pesuruh Allah.