Saturday, October 25, 2014

Zaman Umat Islam Seperti Buih

Beribu-ribu tahun dahulu, telah sabda junjungan umat, Muhammad s.a.w. syahdan akan datang zaman atau generasi Islam terkemudian ini generasi yang seumpama buih di lautan. Bilangan ramai tapi kualiti seperti buih.

Saya tidak letakkan sabda ini sebagai hujah kerana saya tidak tahu status sabda ini mutawatir atau 'ahad'. Namun, sebagai iktibar, kita perlu renungi.

Zaman yang disabda mungkin telah muncul. Kenapa? Semakin lama semakin ramai umat Islam. Semakin ramai yang 'hijrah' dari artis popular, kepada artis tv alhijrah (sekadar contoh yang mungkin tiada di dunia nyata). Islam sana sini sehingga UMNO pun mahu menyaingi PAS dalam agenda Islamisasi.

Selalu lintas benak saya, apakah Sang Nabi al-amin maksudkan zaman ini?atau zaman sebelum zaman Abim atau al arqam? Jika mengambilkira satu ungkapan dalam sabda baginda "zaman yang jauh dari aku". Kiraan mudah, bererti, zaman ini yang semakin banyak Islamisasi! Begitu semakin lama, semakin banyak @ semakin lama, semakin dekat dengan generasi yang dimaksudkan oleh baginda almustafa, kekasih Allah. Generasi buih! Nah, makin lama bukan semakin berkualiti tetapi semakin kosong. Tetapi ramai menganggap ini zaman bagus. Orang ramai semakin meminati kuliah misalnya! Bagaimana?Keliru.

Sabda itu ada akhirannya, Nabi menyebut mereka menghidap penyakit 'cinta dunia dan takut mati'.

Ini pandangan saya:

Umat semakin ramai mahu berhijrah kepada kebaikan bahkan tak sedikit yang mahu peluk Islam. Lihat bagaimana sikap ulama atau pembimbing mereka setelah memeluk Islam. Adakah ulama,pembimbing, membimbing dengan akhlak mulia? Adakah ulama menguasai ilmu dan integrasikan dengan cara berfikir yang betul? Adakah ulama yang ada dalam masyarakat menerima konsep kepelbagaian pendapat atau hanya terikat dengan mazhab? Jika banyak jawapan dari soalan di atas ialah Tidak, inilah faktor penyumbang kepada pembentukan kualiti buih dalam diri umat. Sehinggakan mudah bagi orang bukan Islam memain-mainkan sentimen hanya kerana umat Islam terlalu sensitif. Katakan A hasad dengki kepada B. Lalu A mengeluarkan khabar angin yang B ada pakai minyak babi, terus orang Islam mengamuk, turun jalanraya demonstrasi. Yang untungnya, A.. Gejala ini adalah salah satu yang dimaksudkan dalam sabda Nabi(yang disinggung dari awal tadi) bahawa umat Islam mudah dipermainkan. Umat Islam melatah kerana sentimen tapi bukan kerana ilmu dan akal rasional.

Kesian umat. Segala kekalutan yang timbul, datangnya dari barat, dari yahudi israel, dari kristian. Bukan dari diri umat sendiri. Lemah seperti buih pun kerana musuh Islam yang tiada rupa, bukan kerana kebebalan sendiri.

Umat harus optimis. Perlu progresif. Gerak terus ke depan. Kurangkan polemik hal-hal kemazhaban. Banyakkan pendapat bukan banyakkan pertelingkahan. Juga jangan pedulikan 'musuh islam' ada agenda tetapi tanyakan 'apa agenda untuk generasi akan datang'.

Friday, October 24, 2014

Mahatuhan

Dia yang menjadikan aku - bonekalah aku hendakNya sehingga tak bisa aku melirih sendiri-sendiri kecuali dalam kebonekaannya. Mahagetar - menggetarkan zarah-zarah dalam ruang, dinamik maha agung. Otakku mengiakannya. Nadi jantungku sepertinya akan luruh mencapai kedinamikan zat Mu yang mahaagung. Seluruh tubuhku tak kuasa mengikut tarian Mu.

Mahatuhan, santunilah aku yang sedang bergetar seluruh rasa dan urat nadiku. Darah merah membakar dan berlegar dalam jasad seperti putaran bumi yang tak terhenti. Melihat wajahMu melunturkan segala cita. Namun relaku binasa asalkan aku bisa merasa keagungan diriMu.

Wahai Mahatuhan...