Thursday, February 07, 2013

Anti Klimaks

Kadang-kadang aku tak suka klimaks. Selalunya aku suka. Mana ada orang tak suka klimaks. Kalau ada, baik dia pergi periksa tahap kesihatan mental dan fizikal. Makanya, inilah pengkisahan yang anti klimaks aku.

Bila dikatakan penghuni kota, pasti akan alami tahap kepanasan. Siang panas. Malam pun panas. (Tolak yang suka minum air tongkat ali sebab mereka ini selalu hangat dan panas). Apa yang mereka lakukan untuk menghilangkan kepanasan? Jawabnya kipas syiling. Itu pun tak cukup. Kena pasang penghawa dingin(aircond).

Aku tetap pertahan prinsip aku yang tak mau pasang penghawa dingin. Alasan aku mudah. Bila pasang, kat rumah kita saja sejuk. Orang yang ada di luar rumah kita?pasti panas! Ini hal akan membuatkan kita lupa diri yang satu ketika dulu kita berpanasan! Akhir nanti kita tak akan tahan panas walapun cuaca redup. Buktinya cuba anda tanya mereka yang punya anak yang membesar sejak bayi di rumah yang punya penghawa dingin. Anak mereka tak bisa tidur nyenyak andai tak dihidupkan penghawa dingin! Jadi, aku mesti pertahan cara aku. Entah sampai bila pun aku tak pasti dapat bertahan dengan prinsip ini.

Akhirnya pada satu malam, aku temukan jawapannya. Aku disedarkan dengan satu teman. Maafkan aku yang sedikit melupakanmu. Aku memapah dia ke ruang bersamaku. Aku tergesa-gesa meminta dia bekerja. Lembutnya belaianmu membelai dua kakiku. Aku pun hampir lupa kali terakhir kita bermuka-muka. Belaian seperti bayu pupuk lembut,menghimbau kampung halamanku. Kedinginan suasana pagi. Kerbau-kerbau meredah bendang. Awan kabus menyelimuti jejaran bukit. Asyiknya aku dibuai angin dari temanku,kipas meja. Dialah yang berjaya menghilangkan panasku walaupun dengan kelajuan 1. Dia berjaya tatkala kipas syiling berkelajuan 5 gagal menyejukkan aku. Tak perlu penghawa dingin. Pejuang alam sekitar dakwa dengan memasang penghawa dingin boleh menyebabkan Pemanasan Global! Jadi, Sayangi bumi kita!