Sunday, January 06, 2013

Kitab dari langit

Sahabat saya bertanya, adakah Quran tidak boleh jadi rujukan dalam pembentangan akademik di Barat kerana ia tiada diketahui siapa pengarangnya,maka yang demikian, tidak boleh menjadi data empirikal dalam dunia akademik?

Ini pandangan peribadi saya; antara Barat dan selain Barat tidak banyak jauh beza. Cuma masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Kalau dulu dunia Islam luas pengaruhnya di seluruh dunia, kini giliran Barat pula. Suka atau tidak, itulah hakikatnya. Walaupun saya tidak belajar di barat, namun melalui pembacaan dan pemerhatian saya mendapati bahawa kebebasan akademik di sana lebih terbuka.

Apabila ada yang menyebut tentang soalan seumpama soalan di atas, beberapa perkara perlu diperhatikan. Adakah itu pertanyaan datang dari orang yang mendapat pelajaran akademik di barat melalui pengalamannya sendiri? atau mungkin pertanyaan dari orang yang menaakul dari pemerhatiannya sahaja? atau pertanyaan yang lahir dari sikap anti barat?

Jawapan untuk soalan sahabat saya ada dua: ya dan tidak.

Ya; apabila terdapat prosedur yang menghendaki keperluan begitu. Sebagai contoh adakah di dalam al-quran memberi 'detail yang sangat terperinci' berkaitan jumlah, saiz, kedudukan matahari dan planet-planet? Tidak. Apa yang ada di dalam quran hanyalah gambaran kasar atau prinsip sahaja. Oleh yang demikian, ia bukanlah rujukan sains yang menyeluruh. Perlu diingat bahawa al-quran tidak diturunkan sebagai kitab sains! Tetapi sebagai pemberi petunjuk kebenaran kepada manusia. Dan alasan digunakan oleh mereka ialah Quran ialah rujukan untuk kepercayaan umat Islam sahaja, begitu juga bagi kitab lain, kitab-kitab agama hanyalah untuk penganut agama itu sahaja.

Tidak; quran boleh dijadikan rujukan di pusat pengajian tinggi yang menerima kitab-kitab agama sebagai rujukan untuk dikaji termasuk Quran. Bagi universiti-universiti yang menerima Quran dan lain-lain kitab agama sebagai rujukan sains, kajian itu akan menjadikan universiti itu kaya dengan hasil kajian. Dan universiti adalah tempat mengembangkan tamadun sesuatu bangsa. Seandainya sesebuah universiti itu tidak menerima rujukan yang pelbagai maka itu adalah merugikan mereka sendiri.

(gambar hiasan)
Lepas dari soalan-soalan tadi, apa yang saya amati, sikap segelintir manusia agama yang pessimistik dengan Barat adalah merugikan begitu juga dengan sikap segelintir manusia Barat yang pessimistik dengan agama-agama dunia. Adalah lebih elok bagi kita bersikap positif dengan orang lain samada Barat atau Timur, Utara atau Selatan. Hal demikian akan meluaskan udara pernafasan, membuka oksigen kepala untuk menenangkan otak. Kita tidak nafikan ada sikap-sikap yang curang di kalangan individu-individu atau kumpulan tertentu namun itu bukanlah alasan untuk kita menolak hikmah atau falsafah yang harus dikutip oleh umat Islam daripada orang lain. Inilah yang disarankan oleh agama. Kutiplah hikmah di mana saja yang kita temui; mungkin dari Barat, Jepun, China, Afrika, Amerika dan sebagainya di seluruh pelusuk dunia.