Wednesday, November 28, 2012

Catatan ke-100: Kebenaran atau akhlak?


[Inilah catatan ke-seratus bagi manusia seperti saya yang bakat menulisnya biasa-biasa saja berbanding dengan pemblog-pemblog yang lain. Walau bagaimanapun, saya harus titipkan juga apa yang terlintas di benak. Dan dengan itu-bertepatan dengan tema blog ini: raikan manusiawi- tanpa melepaskan ciri kemanusiaan saya dan juga anda, di bawah ini saya lontarkan buah fikiran yang sedikit sebanyak untuk dijawab, direnung, dikritik oleh anda]

Kebenaran dan akhlak selalu menjadi perhatian saya. Makin lama seolah tampak sepertinya ia telah membentuk dua kutub yang berlainan. Pihak 'benar' dan pihak ber 'akhlak'. Jadi bagaimana anda tanggapi dua ini?

Ada manusia yang berada di landasan 'benar' tetapi tidak berakhlak. Ada manusia yang berada di landasan 'berakhlak' tetapi tidak benar. Maka, alangkah baiknya jika menjadi orang yang benar dan berakhlak. Ini yang susah untuk menjadinya.

Keadaan ini selalu berlaku dalam kehidupan. Dalam soal sosial, agama dan sebagainya. Seorang pejuang sejarah yang memperjuangkan sejarah yang dipercayainya sebagai paling benar dan berhak dalam lipatan sejarah tetapi mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati sejarawan lain atau pihak lain seperti "si fulan...tak ingat nak mati ke?". Seorang agamawan yang benar dan sahih hujah-hujahnya tetapi dia mengherdik bahkan memperlekeh kumpulan lain yang tidak bersama hujah-hujahnya. Ini semua gejala yang tidak sihat! Bahkan bisa memecah-belahkan masyarakat dan berterusan di dalam permusuhan, adakah ini bagus? Adakah gejala ini menepati syariat? Adakah gejala ini disukai oleh Rasulullah?

Maka, kita renungilah. Pilihan ada di tangan anda kerana zaman ini zaman maklumat. Tiada siapa mampu menyekat maklumat dan menyekat kebenaran tetapi berapa ramai daripada kita pilihan akhirnya ialah - akhlak? Saya pasti bahawa Tuhan akan memilih (sebagai pilihan utama)- pihak yang berakhlak sebagai pihak-Nya.

"Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia" (Nabi Muhammad)