Saturday, June 23, 2012

Perutusan Maulid Penulis Blog Raikan Manusiawi

Saya mengajak semua individu, semua jiwa, semua manusia yang menumpahkan taat setia kepada negara ini, mari kita lihat cogan kata dalam jata negara: 'Bersekutu Bertambah Mutu'. Tiga ungkapan yang menjadi pusaka nenek moyang kita yang juga pendiri negara ini besar maknanya dan kita harus menggali makna dari ungkapan ini dengan sungguh-sungguh. Dalam ruang awam, dengan menggunakan semangat cintakan negara, berpandukan akal yang sihat dan roh kebersamaan (negara ini milik kita), mari kita hayati cogan negara ini.


'Bersekutu' harus dibaca dengan 'kita' kerana tanpa mempedulikan kata 'kita' tidak akan membawa kepada maksud yang menyeluruh. Siapakah 'kita'? 'Kita' ini merujuk kepada rakyat negara ini. Negara ini bukan milik sesuatu bangsa apatahlagi seseorang. Ianya milik kita. Wajah 'kita' adalah berbentuk plural. 'Kita' adalah pluralis, saya adalah pluralis, kamu dan mereka adalah pluralis. Jadi, 'kita' harus bersepakat dan berdebat tentang wajah kita atas semangat demokrasi dan nasionalisme. Adakah 'kita' harus melunturkan semua wajah 'kita' menjadi satu wajah? Saya fikir tidak perlu melunturkan wajah 'kita'. Biar terpelihara budaya kaum Melayu, terjaga budaya kaum Cina, tidak dihapus budaya India dan lain-lain budaya kaum di negara ini. Pemeliharaan ini biarlah dilaksanakan oleh anak kaum itu sendiri kerana dengan cara ini lebih ampuh berbanding dengan memelihara dengan jalan kuasa.


Walhasil, dengan roh nasionalisme, iaitu imej nasional perlu dibentuk. Adab, sikap yang matang, bahasa, pendidikan adalah antara imej nasional yang mesti dibentuk. Biarlah dunia mengenal 'orang Malaysia' berbanding dunia mengenal orang Melayu, orang Cina, orang India. Orang Malaysia itu bermacam wajah budaya tradisinya namun mempunyai nama yang sama. Apabila berucap di pentas dunia, orang Malaysia akan mengucapkan 'Salam sejahtera', 'apa khabar', 'saya berpendapat...' dan seumpamanya. Inilah yang dimaksudkan dengan 'bersekutu'. Wajah inilah yang akan menambah mutu kebangunan negara ini dan disegani masyarakat antarabangsa.