Wednesday, November 28, 2012

Catatan ke-100: Kebenaran atau akhlak?


[Inilah catatan ke-seratus bagi manusia seperti saya yang bakat menulisnya biasa-biasa saja berbanding dengan pemblog-pemblog yang lain. Walau bagaimanapun, saya harus titipkan juga apa yang terlintas di benak. Dan dengan itu-bertepatan dengan tema blog ini: raikan manusiawi- tanpa melepaskan ciri kemanusiaan saya dan juga anda, di bawah ini saya lontarkan buah fikiran yang sedikit sebanyak untuk dijawab, direnung, dikritik oleh anda]

Kebenaran dan akhlak selalu menjadi perhatian saya. Makin lama seolah tampak sepertinya ia telah membentuk dua kutub yang berlainan. Pihak 'benar' dan pihak ber 'akhlak'. Jadi bagaimana anda tanggapi dua ini?

Ada manusia yang berada di landasan 'benar' tetapi tidak berakhlak. Ada manusia yang berada di landasan 'berakhlak' tetapi tidak benar. Maka, alangkah baiknya jika menjadi orang yang benar dan berakhlak. Ini yang susah untuk menjadinya.

Keadaan ini selalu berlaku dalam kehidupan. Dalam soal sosial, agama dan sebagainya. Seorang pejuang sejarah yang memperjuangkan sejarah yang dipercayainya sebagai paling benar dan berhak dalam lipatan sejarah tetapi mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati sejarawan lain atau pihak lain seperti "si fulan...tak ingat nak mati ke?". Seorang agamawan yang benar dan sahih hujah-hujahnya tetapi dia mengherdik bahkan memperlekeh kumpulan lain yang tidak bersama hujah-hujahnya. Ini semua gejala yang tidak sihat! Bahkan bisa memecah-belahkan masyarakat dan berterusan di dalam permusuhan, adakah ini bagus? Adakah gejala ini menepati syariat? Adakah gejala ini disukai oleh Rasulullah?

Maka, kita renungilah. Pilihan ada di tangan anda kerana zaman ini zaman maklumat. Tiada siapa mampu menyekat maklumat dan menyekat kebenaran tetapi berapa ramai daripada kita pilihan akhirnya ialah - akhlak? Saya pasti bahawa Tuhan akan memilih (sebagai pilihan utama)- pihak yang berakhlak sebagai pihak-Nya.

"Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia" (Nabi Muhammad)

Wednesday, October 24, 2012

Salam


Salam Aidil Adha!

Inna aktoinakalKauthar. FasolliliRobbika wa-nhar. Inna syaniaka huwa-l'Abtar.

Monday, September 03, 2012

Pemberontakan

Satu pemberontakan, (malah disebut sebagai revolusi) selalunya mengundang khalayak.
Namun terkadang tidak perlukan khalayak. Hanya cukup berdiam di dalam diri.
Kerana ada pemberontakan hanya memerlukan udara, angin, cahaya matahari dan pekat malam yang menggerakannya.

Dan terkadang juga hanya semata kata-kata yang memandu pemberontakan.

Dan pemberontakan bukan semata dari mata air kebencian malah bisa juga datang dari lubuk cinta. Pemberontakan kemusnahan. Pemberontakan menuju cinta. Ada pemberontakan dengan kekerasan. Ada pemberontakan itu bersantun.

"Mawar merah yang ku cium. Ternyata menusuk dan beracun.
Wanginya menyenangkan hatiku. Membuatku tak karuan." 
"Ku berlutut di bawah kakinya. Ku berikan hatiku untuknya. Ku telan semua luka-luka. Ku tak punya perisai lagi"
"Matilah kau di dalam hatiku! Bawa pergi saja dirimu sampai ke dasar lautan. Matilah kau bersama cintaku.
Banyak berharaplah dirimu. Semoga dapat bahagia, berharaplah!"

Thursday, August 30, 2012

DIRGAHAYU MALAYSIA!

RISALAH KEMERDEKAAN UNTUK ANAK-ANAK

Salam sejahtera untuk anak-anak sekalian. Semoga kalian berada dalam peliharaan Tuhan senantiasa hendaknya.

Inilah pesan yang ikhlas dari ayahanda dan bonda untuk anak-anak kerana kami tidak dapat lelapkan mata di malam hari dan tidur nyenyak memikirkan masa depan anak-anak sekalian. Bukan hanya memikirkan anak-anak ayahanda dan bonda sahaja bahkan anak-anak jiran kita, anak-anak nelayan, pesawah, tukang kebun, pemandu lori dan semua anak-anak ibu pertiwi ini.

Anak-anak sekalian,

Jenuh ruang ini untuk kami perihalkan sejarah latar belakang Negara ini. Hanya cukup kami pesankan supaya belajar daripada perjalanan sejarah Negara ini, sejarah datuk nenek kamu, dia, kami dan mereka. Pelajarilah sungguh-sungguh kerana kami yang dewasa ini pun masih belajar sejarah Negara kita.

Saban tahun kita menyambut merdeka. Sudah 55 kali dalam 55 tahun, kita mengungkapkan kalimat “Merdeka”. Mungkin sudah lebih 5500 kali kita mengibar bendera Malaysia tetapi cuba tanya diri sendiri, apakah kita faham makna sebuah kemerdekaan? Apa ertinya mengibar bendera siang malam sedang kita tidak berusaha menggali dan memaknai merdeka?

Kalimah keramat ini – merdeka, membawa maksud yang besar dan mendalam – iaitu kebebasan jiwa raga dari sebarang perhambaan yang menyekat karamah insaniah (kemuliaan akal-budi insan) keranah karamah inilah yang dikurniakan oleh Tuhan kepada setiap anak Adam. Maka, selayaknya kita menjaga karamah ini dengan sebaik-baiknya.

Anak-anak yang ku kasihi sekalian,

Sebagai manusia yang dianugerahi akal fikiran, ketahuilah, kemerdekaan yang suci murni itulah membebaskan diri dari jiwa tertawan; jiwa yang bergantung kepada manusia lain, makhluk lain dan apa-apa sahaja selain Tuhan. Jiwa tertawan ibarat orang yang ingin keluar dari mulut buaya namun terperangkap pula dalam mulut harimau. Ketahuilah olehmu, pemilik semua dalam sarwa alam ini hanyalah Tuhan yang maha esa. Maka, jiwa merdeka adalah mereka yang berketuhanan-yang-maha-esa; tidak ada selain Dia yang layak untuk kita bergantung! Inilah maksud yang besar dari sebuah kemerdekaan. Sematkan dalam diri masing-masing selama-lamanya.  Tidak kurang penting juga, jangan abaikan adab-adab dalam diri dan ketika bermasyarakat demi hari muka.

Anak-anak sekalian,

Ayahanda, bonda dan guru-guru hanya memberi pedoman dan tunjuk jalan yang baik. Hanya anak-anaklah penentu hala diri sendiri. Tidak ada yang dapat memerdekakan jiwa anak-anak melainkan anak-anak juga yang memilih kemerdekaan diri. Berjuanglah di hari muka demi Negara yang tercinta ini.

Ikhlas dari,

Ayahanda dan Bonda.

Saturday, June 23, 2012

Perutusan Maulid Penulis Blog Raikan Manusiawi

Saya mengajak semua individu, semua jiwa, semua manusia yang menumpahkan taat setia kepada negara ini, mari kita lihat cogan kata dalam jata negara: 'Bersekutu Bertambah Mutu'. Tiga ungkapan yang menjadi pusaka nenek moyang kita yang juga pendiri negara ini besar maknanya dan kita harus menggali makna dari ungkapan ini dengan sungguh-sungguh. Dalam ruang awam, dengan menggunakan semangat cintakan negara, berpandukan akal yang sihat dan roh kebersamaan (negara ini milik kita), mari kita hayati cogan negara ini.


'Bersekutu' harus dibaca dengan 'kita' kerana tanpa mempedulikan kata 'kita' tidak akan membawa kepada maksud yang menyeluruh. Siapakah 'kita'? 'Kita' ini merujuk kepada rakyat negara ini. Negara ini bukan milik sesuatu bangsa apatahlagi seseorang. Ianya milik kita. Wajah 'kita' adalah berbentuk plural. 'Kita' adalah pluralis, saya adalah pluralis, kamu dan mereka adalah pluralis. Jadi, 'kita' harus bersepakat dan berdebat tentang wajah kita atas semangat demokrasi dan nasionalisme. Adakah 'kita' harus melunturkan semua wajah 'kita' menjadi satu wajah? Saya fikir tidak perlu melunturkan wajah 'kita'. Biar terpelihara budaya kaum Melayu, terjaga budaya kaum Cina, tidak dihapus budaya India dan lain-lain budaya kaum di negara ini. Pemeliharaan ini biarlah dilaksanakan oleh anak kaum itu sendiri kerana dengan cara ini lebih ampuh berbanding dengan memelihara dengan jalan kuasa.


Walhasil, dengan roh nasionalisme, iaitu imej nasional perlu dibentuk. Adab, sikap yang matang, bahasa, pendidikan adalah antara imej nasional yang mesti dibentuk. Biarlah dunia mengenal 'orang Malaysia' berbanding dunia mengenal orang Melayu, orang Cina, orang India. Orang Malaysia itu bermacam wajah budaya tradisinya namun mempunyai nama yang sama. Apabila berucap di pentas dunia, orang Malaysia akan mengucapkan 'Salam sejahtera', 'apa khabar', 'saya berpendapat...' dan seumpamanya. Inilah yang dimaksudkan dengan 'bersekutu'. Wajah inilah yang akan menambah mutu kebangunan negara ini dan disegani masyarakat antarabangsa.

Tuesday, January 17, 2012

Muktazilah

Muktazilah adalah mazhab yang kurang popular tetapi mungkin ramai pengikut dan simpatisan atau mereka yang ingin mencari kebenaran. Sesiapa yang ada input atau komen dijemput memberi komen atau input-input berharga. Terima kasih.