Thursday, February 17, 2011

Masjid

Masjid selain menjadi tempat ibadat dan diisi dengan benda-benda berfaedah, pihak masjid dan sesiapa yang ada otoriti sepatutnya memelihara keindahan dan kesenian masjid. Tinjauan saya banyak binaan masjid mengalami hakisan kesenian. maksud saya, masjid telah berubah identitinya. daripada masjid 'tempatan' berubah menjadi masjid 'bukhara', masjid 'nabawi', dan lain-lain masjid timur tengah. Kenapa tak kekalkan kesenian asal?

Tuesday, February 15, 2011

Perutusan Raikan Manusiawi (RMw) sempena Maulid Nabi

Salam Sejahtera ke atas anda semua.

Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad (s.a.w). Kita ucapkan terima kasih kepada ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang bersamanya kerana telah memberi suluhan dan pedoman dan sempadan dalam mendepani hari-hari muka.

Saudara-saudara,

Sesungguhnya Muhammad (s.a.w) adalah manusia yang telah dipilih Tuhan kerana dia mempunyai keterampilan yang sempurna sebagai manusia biasa. Mengapa saya katakan beliau manusia biasa seperti kita juga? Marilah kita fahaminya.

Keperibadian setiap manusia, menurut pandangan beberapa teori sarjana psikologi, secara biologinya manusia itu mewarisi genetik-genetik yang baik dan buruk. Apabila dilahirkan, peribadi (yang merangkumi sikap,emosi,kecenderungan) manusia itu terbentuk pula melalui persekitaran (socialization). Sebagai contoh, dari segi biologi si A adalah seorang perengus tetapi persekitarannya telah mengekang keperengusannya. bermaksud, persekitarannya tidak mendorong beliau menjadi seorang perengus. boleh jadi disekelilingnya ramai orang-orang yang menyayanginya, mencurahkan kasih sayang, berkawan baik dengannya dan seumpamanya, maka si A secara alami akan menjadi seorang yang berkasih sayang.

Begitu juga apa yang dialami Muhammad (s.a.w). Persekitaran ketika zaman jahiliah kadang-kadang menggoda baginda namun secara biologinya beliau mewarisi genetik-genetik yang baik. walaupun ada ketikanya beliau juga sebagai manusia biasa, ada rasa ingin tahu 'hiburan berat' zaman jahiliah (ketika beliau remaja iaitu sebelum kenabian) namun dihalang oleh Tuhan dari terjebak dengan membuat beliau tertidur sebelum sempat sampai ke pesta jahiliah. Banyak lagi contoh keperibadian beliau yang asli dari diri beliau yang bukan dari langit.

Saudara-saudara,

Untuk memahami keperibadian beliau, eloklah kita lihat dari sisi "Muhammad adalah manusia biasa". Namun, beliau mempunyai keperibadian yang sangat istimewa tetapi masih sebagai manusia biasa. Beliau tidak dilahirkan sebagai manusia 'gifted' yang ada kebolehan tertentu tetapi beliau adalah seorang yang mempunyai akhlak yang mengagumkan. Dan saya percaya beliau tidak 'ditunggangi malaikat' (maksudnya setiap inci gerak geri beliau dilakukan oleh malaikat) tetapi beliau mempunyai kredibiliti yang lengkap. Saya percaya bahawa Beliau bukan "born to be a prophet" atau "born to rule" tetapi keperibadiannya itu yang menawan hati jiwa-jiwa yang ada di sekelilingnya. Dengan sebab itulah juga beliau dipilih oleh Tuhan untuk memikul tugas menyampaikan Tauhid. Dan saya juga percaya bahawa beliau berusaha sendiri dengan kudrat tulang empat keratnya dalam membawa pembaharuan atau reformasi. Hanya beberapa situasi sahaja beliau mendapat pertolongan kuasa-kuasa ajaib.

Saudara-saudara,

RMw di sini menyeru kepada semua insan, tidak kira apa bangsa atau agama, marilah kita mencari kebenaran demi untuk kebaikan seluruh umat manusia. Muhammad adalah salah seorang susuk tubuh yang berjaya membawa pembaharuan kepada dunia. Secara peribadi, RMw masih mempelajari keperibadian Muhammad. Dan bersama-samalah kita mempelajari hikmah di sebalik kelahiran Muhammad ke dunia ini.

Kepada umat Islam, selamat menyambut Hari Lahir Nabi (s.a.w.). Semoga kita mendapat syafaat di akhirat kelak berkat kesibukan kita mencari ilmu untuk mengakrabkan diri dengan memahami keperibadian Rasul s.a.w.

Ya Allah, limpahkanlah selawat serta salam ke atas hamba Mu, Muhammad bin Abdullah hingga akhir waktu. Amin