Monday, August 29, 2011

salam lebaran

Lebaran kali ini tidak seperti tahun sudah.Perasaan yang bercampur-campur. Namun kepada Allah diserah semua. Sebetulnya di sini aku surahkan kesah ramadan ku. Begini. Ramadan dalam pengertian dalaman iaitu menurut catatan rohaniku, adalah jambatan kepada kehidupan selepas ramadan. Jelas lagi, ramadanlah tempat,ruang dan waktu untuk aku menggambarkan harapan atau cita-cita ku selepas bulan puasa ini. Aku tidak perlu bertegang urat otak atau menyibukkan diri mengejar material untuk menyiapkan diri untuk hari-hari selepas ramadan. Hanya dengan membanyakkan doa dan sedikit kerajinan badan bersembahyang. Dan paling penting, yakin dengan pertolongan tuhan. Aku harap segala selepas ramadan adalah hari-hari indah bagiku sebagai seorang pencari rezeki, hamba tuhan, pemimpin, pengamal ekonomi, warganegara, ketua keluarga, reformis dan rakyat marhaen. Salam Lebaran kepada semua umat manusia!

Thursday, July 28, 2011

Meracau


Pada zaman dahulu kala, sebuah kisah yang masyhur bagi mereka yang kenal satu sosok tubuh. Firaun gelarannya. Dia adalah salah satu orang -dalam sejarah manusia- yang tergolong dalam pemimpin negara yang pernah meracau. Meracau kerana tilikan ahlinnujum menemui alamat seorang lelaki akan menentang baginda Firaun yang akibatnya kerajaannya tak dapat dipertahankan lagi walau berbagai propaganda telah dicanangkan. Maka bermulalah kegilaannya yang direfleksikan daripada keracauannya itu. Baginda memburu serta membunuh semua anak lelaki yang lahir di bumi Mesir. Inilah musibah yang besar lahir dari mereka yang kuat meracau apatah lagi jika mereka berada di tampuk kuasa.

Tuesday, June 07, 2011

Kepimpinan Ulama

Setahu saya, ulama adalah pewaris Nabi. Belum jumpa lagi hadith mengatakan ulama mesti memegang kuasa politik.

Dilema. Wacana yang dihambat sempadan-sempadan. Adakah bebas? bebas yang tidak telus?

Thursday, May 26, 2011

Mohon Keampunan

Wahai Tuhan,

Engkaulah Tuhan yang sebenar-benarnya ada. Yang Tunggal. Yang Esa. Yang maha meliput segala. Yang Maha Kaya. Maha Pemurah, tidak lokek, tidak bakhil. Yang menjaga diri ini. Yang Maha mengurniakan. Yang maha berhak atas setiap jiwa. Yang maha hidup. Yang menguasai segalanya.

Engkau mengurniakan alam ini seorang sosok tubuh yang mulia - Muhammad bin Abdullah. Ajarannyalah yang membawa kami ke jalan-jalan mencari Mu. Selawat dan salam ke atasnya, "Rahmat Seluruh Alam" sehingga hari akhirat. Engkau juga mengurniakan kami para nabi dan rasul sebagai pedoman dalam menyuluhi segala cobaan dan mehnah dunia ini. Selawat dan salam juga ke atas mereka.

Wahai Tuhan,

Ampunilah segala dosa kami, dosa ibu-ibu, bapa-bapa kami, serta mereka yang kami sayangi sedari awal kehidupan hinggalah ke akhir hayat nanti, juga dosa seluruh umat Islam dan umat manusia amnya kerana kami tidak mengetahui kebenaran yang hakiki melainkan apa yang telah Engkau tunjuki kami. Berilah petunjuk kepada kami yang sedang mengendong dosa dan kesilapan masa lalu kami. Bagaimana kami harus lakukan agar kami tidak terbeban lagi dengannya? Hanya Engkau sahaja yang dapat membantu kami.

Juga ampunilah dosa-dosa mereka yang menganiayai atau memfitnah kami (jika ada) kerana mereka tidak mengetahui dan mereka sangat memerlukan petunjukMu untuk menenangkan hati mereka dan mengatasi kemarahan mereka yang membuak-buak. Sesungguhnya, kami bukanlah orang-orang yang sempurna, kami tidak sunyi dari kesalahan dan dosa. Dan hanya Engkau yang maha sempurna serta maha pemaaf. Gantikanlah kemarahan mereka itu dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Kerana yang demikian, cinta menyejukkan dunia ini.

Ya Allah,
Terimalah permohonan dari pengemis Mu yang hina dina ini. Berilah kami petunjuk dan hikmah dari segenap sudut muka bumi ini. Hanya engkau tempat kami mengadu, tempat kami bergantung harap, tempat kami berlindung, tempat segalanya. Sesungguhnya, Engkau maha mudah mengabulkan doa-doa kami.

Amin.

Tuesday, May 24, 2011

ABIM

Naik turun mana-mana organisasi adalah lumrah. Seperti petuah bijak orang tua - Langit tak selalunya mendung.

Semoga dengan kepimpinan baru, Sdr. Mohamad Razak Idris (senior saya di UIA dahulu) dapat memandu pertubuhan ini menjadi gerakan massa yang tidak harus dipandang enteng perannya. Dan semoga ABIM menjadi agen pembentukan masyarakat sivil negara ini.

Selamat Maju Jaya!

Thursday, April 28, 2011

Misteri Penciptaan

Aku mencari-cari misteri penciptaan manusia. Dan misteri penciptaan alam jagad raya. Dan Penciptanya.

Thursday, April 07, 2011

Jasa ISA

Harap semua tidak terkejut dengan tajuk di atas. Tujuan tajuk ini ada kaitan dengan seorang hamba Allah ini - bekas tahanan ISA- yang telah menulis tentang pengalamannya di dalam ISA. Tajuknya : Universiti Kedua.

Anehnya, dia seorang bekas tahanan yang telah berubah fikiran terhadap ISA. Kini dia pula tidak menentang ISA berbanding rakan-rakannya yang lain.

Menarik untuk dibaca. Bagi saya, kita boleh ambil pengajaran daripada kisahnya walau apa saja pendapat terbaharu Pengarangnya terhadap ISA. Semua orang mampu menilainya dengan rasional.

Selamat membaca buku kecil ini.

Thursday, February 17, 2011

Masjid

Masjid selain menjadi tempat ibadat dan diisi dengan benda-benda berfaedah, pihak masjid dan sesiapa yang ada otoriti sepatutnya memelihara keindahan dan kesenian masjid. Tinjauan saya banyak binaan masjid mengalami hakisan kesenian. maksud saya, masjid telah berubah identitinya. daripada masjid 'tempatan' berubah menjadi masjid 'bukhara', masjid 'nabawi', dan lain-lain masjid timur tengah. Kenapa tak kekalkan kesenian asal?

Tuesday, February 15, 2011

Perutusan Raikan Manusiawi (RMw) sempena Maulid Nabi

Salam Sejahtera ke atas anda semua.

Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad (s.a.w). Kita ucapkan terima kasih kepada ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang bersamanya kerana telah memberi suluhan dan pedoman dan sempadan dalam mendepani hari-hari muka.

Saudara-saudara,

Sesungguhnya Muhammad (s.a.w) adalah manusia yang telah dipilih Tuhan kerana dia mempunyai keterampilan yang sempurna sebagai manusia biasa. Mengapa saya katakan beliau manusia biasa seperti kita juga? Marilah kita fahaminya.

Keperibadian setiap manusia, menurut pandangan beberapa teori sarjana psikologi, secara biologinya manusia itu mewarisi genetik-genetik yang baik dan buruk. Apabila dilahirkan, peribadi (yang merangkumi sikap,emosi,kecenderungan) manusia itu terbentuk pula melalui persekitaran (socialization). Sebagai contoh, dari segi biologi si A adalah seorang perengus tetapi persekitarannya telah mengekang keperengusannya. bermaksud, persekitarannya tidak mendorong beliau menjadi seorang perengus. boleh jadi disekelilingnya ramai orang-orang yang menyayanginya, mencurahkan kasih sayang, berkawan baik dengannya dan seumpamanya, maka si A secara alami akan menjadi seorang yang berkasih sayang.

Begitu juga apa yang dialami Muhammad (s.a.w). Persekitaran ketika zaman jahiliah kadang-kadang menggoda baginda namun secara biologinya beliau mewarisi genetik-genetik yang baik. walaupun ada ketikanya beliau juga sebagai manusia biasa, ada rasa ingin tahu 'hiburan berat' zaman jahiliah (ketika beliau remaja iaitu sebelum kenabian) namun dihalang oleh Tuhan dari terjebak dengan membuat beliau tertidur sebelum sempat sampai ke pesta jahiliah. Banyak lagi contoh keperibadian beliau yang asli dari diri beliau yang bukan dari langit.

Saudara-saudara,

Untuk memahami keperibadian beliau, eloklah kita lihat dari sisi "Muhammad adalah manusia biasa". Namun, beliau mempunyai keperibadian yang sangat istimewa tetapi masih sebagai manusia biasa. Beliau tidak dilahirkan sebagai manusia 'gifted' yang ada kebolehan tertentu tetapi beliau adalah seorang yang mempunyai akhlak yang mengagumkan. Dan saya percaya beliau tidak 'ditunggangi malaikat' (maksudnya setiap inci gerak geri beliau dilakukan oleh malaikat) tetapi beliau mempunyai kredibiliti yang lengkap. Saya percaya bahawa Beliau bukan "born to be a prophet" atau "born to rule" tetapi keperibadiannya itu yang menawan hati jiwa-jiwa yang ada di sekelilingnya. Dengan sebab itulah juga beliau dipilih oleh Tuhan untuk memikul tugas menyampaikan Tauhid. Dan saya juga percaya bahawa beliau berusaha sendiri dengan kudrat tulang empat keratnya dalam membawa pembaharuan atau reformasi. Hanya beberapa situasi sahaja beliau mendapat pertolongan kuasa-kuasa ajaib.

Saudara-saudara,

RMw di sini menyeru kepada semua insan, tidak kira apa bangsa atau agama, marilah kita mencari kebenaran demi untuk kebaikan seluruh umat manusia. Muhammad adalah salah seorang susuk tubuh yang berjaya membawa pembaharuan kepada dunia. Secara peribadi, RMw masih mempelajari keperibadian Muhammad. Dan bersama-samalah kita mempelajari hikmah di sebalik kelahiran Muhammad ke dunia ini.

Kepada umat Islam, selamat menyambut Hari Lahir Nabi (s.a.w.). Semoga kita mendapat syafaat di akhirat kelak berkat kesibukan kita mencari ilmu untuk mengakrabkan diri dengan memahami keperibadian Rasul s.a.w.

Ya Allah, limpahkanlah selawat serta salam ke atas hamba Mu, Muhammad bin Abdullah hingga akhir waktu. Amin