Oleh satu poster. Di sebuah menara gading. Ya, "MENARA GADING" yang kita bangga-banggakan. Yang oleh ibu-ibu bapa-bapa mahu hantar anak-anaknya ke situ.
Tapi mungkin ibu-ibu bapa-bapa tidak jangka akan berlaku satu malapetaka.
Boleh dikatakan malapetaka tetapi jenis malapetaka ini sedang membunuh perlahan-lahan anak-anak bangsa kita (baca: bangsa Malaysia). Mala petaka yang seperti 'frost'. Sesiapa yang pernah ke negeri sejuk lebih arif. Kesejukan yang melampau ini akan membunuh. Mangsa mala petaka ini tidak sedar. Kerana jika yang datang itu api yang marak, mereka akan segera melawan tetapi sejuk itu lebih akrab dengan tubuh badan mereka, lebih membelaikan maka mereka tidak melawan.
Marabahaya yang sedang membuai-buai anak bangsa kita ini sangat bahaya kerana akrab dengan umur mereka yang sedang perawan. Mereka sangat akrab dengan hiburan. Akrab dengan cinta monyet. Akrab dengan jiwa yang berahi.
Dan mereka juga dahaga.
Dahaga pendampingan, persahabatan, cinta. Dahaga pedoman, kebenaran, keselamatan jiwa.
Malang, ketika anak-anak bangsa kita ini sedang menghadapi mehnah-mehnah ini, rakan taulan, sahabat, orang sekeliling, mungkin juga guru mereka, menghidangkan kepada mereka jalan yang singkat juga jalan yang merendahkan hati mereka. Bahkan kesegaran fikiran mereka diwarnai dengan junk info (maklumat remeh dan pramatang). Sekeliling mereka membungkam daya fikir. Hidangan yang mereka dapat di menara gading ini pula hidangan akal yang picisan!
Ini yang saya maksudkan dengan gangguan emosi. Sebuah Institusi Pengajian Tinggi menganjurkan satu forum yang berkisar hal ehwal dalam kelambu - Cinta. Hidup perlukan cinta. Mungkin itu perbincangannya. Dan saya percaya itulah yang dibincangkan. Perbincangan yang tahapnya sesuai untuk pengunjung-pengunjung Jom Heboh, dihidangkan kepada anak-anak bangsa kita yang sedang menjadi calon MAHASISWA, pemegang ijazah!
Seharusnya mereka sudah mula bercakap pasal permasalahan umat sebagai contoh etika global, dialog antara agama, pendemokrasian, ruang awam atau mengupas debat masyarakat sivil bukan perkara picisan! Kenapa ini harus terjadi? Adakah kerana kita sudah hilang daya fikir yang dinamik?
Jadi apa tujuan memasukkan anak-anak kita ke IPT? Untuk jadi seperti yang digambarkan oleh Senu? Pahlawan zaman sekarang bukan lagi memegang senjata tetapi memegang tas tangan kulit, berkemeja bertali leher dan bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin sambil menghisap rokok yang enak?
Allahu Akbar! Inikah tahap pemikiran yang dicitrakan oleh masyarakat kita? Tidak hairanlah jika nanti akan lahir mahasiswa yang menjadi tukang lawak dalam ceramah perdana, yang bercakap tentang teknik helang terbang, cakar kucing, dan seumpamanya.
Jangan terkejut bila kelak lahir ramai graduan seperti yang disebut.

(gambar hiasan)
2 comments:
sebab itu saya anjurkan teman-teman merunut roman 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk'.!
nakula: baca buku tu takpa. bagus.
Post a Comment