Sunday, December 12, 2010

Oh Kereta Nasionalku sayang...


Ramai orang yang beli kereta buatan Malaysia tapi kurang kenal secara dekat asal muasal projek kereta nasional.

Ada baiknya anda baca buku ini: "WARISAN EKONOMI MAHATHIR" yang ditulis oleh Jomo K.S.

Kisah proton hanyalah sebahagian daripada isi buku ini. Apa yang menarik di dalamnya ialah Dr. Jomo berjaya menghidangkan kita pro dan kontra dasar-dasar Tun yang telah mendarahdaging dalam negara kita.

Kepada mereka yang membenci Tun juga harus membaca agar (mana tau kot2 satu hari nanti kita pula yang jadi Perdana Menteri) di masa depan kita dapat membaiki atau menambahbaik taraf hidup kita ke arah Malaysia yang makmur dan dapat hidup bebas di bumi sendiri.

Thursday, November 11, 2010

Hari Lahir Muhammad Fathurrahman bin Muhammad Suhaib


Hari ini hari lahir anakku yang ke-1

Ini pesan-pesan yang aku dedikasikan untuk dia:

Anak, ingatlah pesan Luqman kepada kita.. "Wahai anak kesayanganKu, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala apa sesuatu yang menimpamu".

Dan ini pesan abah yang paling utama. Ini juga pesan Yaacob kepada anak cucunya.."Apakah Yang kamu akan sembah sesudah Aku mati?" mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, Iaitu Tuhan Yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja Kami berserah diri (dengan penuh iman)".

Selamat Hari Jadi yang pertama!

Wednesday, November 03, 2010

Ali

Hadith untuk dijadikan iktibar kepada diri saya sendiri dan juga kepada kita semua terutamanya mereka yang mengamalkan budaya menyebarkan keaiban orang atau konon merekalah orang paling bertaqwa nak tegur nasihat orang lain padahal dalam masa yang sama mengaibkan orang lain.

Rasul (s.a.w) bersabda: "...Siapa yang menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya….” (Hadis Riwayat Imam Muslim)

Wednesday, October 06, 2010

Doa sepanjang masa

Allahumma, ya Rabbi, ya Rabba Muhammad, ya Rabba Fatharrahman!

Friday, August 06, 2010

Lega

Lega dapat habis baca Mitos Peribumi Malas (Syed Hussein Alatas). Satu buku yang wajib dibaca terutama kepada mereka yang bercita-cita nak naik ke tampuk kuasa. Orang Pakatan Rakyat mesti baca. Mana tau kalau 'take over' Putrajaya nanti. Baca dan hayati. Tak baca, tak hayati, jadilah pemerintah yang berkecamuk dan celaru pemikirannya. BN pun sama. Kalau nak kekalkan status quo, mesti ambil peduli.

Cuma buku edisi Bahasa Malaysia ini masih bercampur baur dengan perkataan-perkataan Indonesia. Pening sikit bagi mereka yang tak biasa dengan bahasa Indonesia.

Jadi, bacalah buku ini. Satu sisi yang bagus saya dapat dari buku ini. Sisi yang rasional, mencerahkan, bisa menginspirasikan sesiapa sahaja, memerdekakan pemikiran kita yang selama ini dilaputi oleh spora-spora beracun yang ditanam oleh penjajah dan mereka yang termakan kata-kata penjajah. Mereka inilah yang terpengaruh dengan faham negatif penjajah. Bahkan generasi demi generasi tidak dapat mengesan bahawa imej dan tuduhan-tuduhan negatif terhadap peribumi adalah berasal dari penjajah-penjajah. Buku ini juga bisa memperbetulkan cara fikir dan cara lihat masyarakat kita tidak kira melayu, cina, india, kadazan, iban dan semua bangsa yang pernah terjajah oleh Inggeris, Belanda dan Sepanyol.

Bangkitlah Malaysia!

Saturday, July 10, 2010

kerana bahasa

cuba baca syair ini dengan penuh penghayatan:

Wahai sang nabi,
engkau ibarat sportlight yang menerangi gelap
kebangkitanmu ibarat bulldozer yang hebat lagi berfaedah
engkau adalah pemula yang meratakan tanah
untuk projek tanaman buah-buahan dan bunga-bungaan
untuk faedah hidup manusia
hingga akhir masa...

pertama sekali, mohon maaf. syair ini bukan bertujuan untuk menghina atau apa jua niat serong. tetapi, saya sengaja membuat perbandingan dan analogi untuk memberi gambaran kepada semua pembaca, kesan dan hasil daripada penggunaan bahasa yang tidak tepat bagi menggambarkan sesuatu yang baik apalagi yang mulia, berkaitan agama.

Saya tersentuh mendengar satu khutbah yang -semestinya ianya ditulis oleh segelintir golongan agamawan- menggunakan bahasa yang tidak sesuai dipakai bagi menggambarkan maksud yang diingini oleh Tuhan dalam peistiwa isra' mikraj. Dalam khutbah itu disebut Allah s.w.t mengangkat Nabi ke langit untuk menyaksikan projek yang akan dilaksanakan Allah. Dan perintah solat adalah program yang dijalankan kepada umat manusia.

Sesetengah orang, mereka cuba menyampaikan sesuatu mesej dalam bahasa yang mudah difahami. betul. dalam menyampaikan dakwah, guru agama itu perlu menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pendengar-pendengar. lebih baik lagi, bahasa itu bisa dihayati oleh semua pendengar.

Namun,ia tidak bernasib baik, mungkin kerana kelemahan atau kekurangan dalam aspek bahasa, atau guru itu sengaja nak 'funky'kan isi penyampaiannya agar menjadi tarikan, dia tersilap menggunakan bahasa. Dari niat yang baik tetapi kerana tersilap penggunaan bahasa, mengakibatkan isi itu seolah menggambarkan bahawa perbuatan Allah dari peristiwa itu seperti perbuatan manusia. 'projek' dan 'program' telah digunapakai dalam istilah-istilah sains atau bidang2 sains sosial. Akan tetapi istilah yang digunapakai dalam falsafah dan ilmu agama terdapat perbezaan dengan bidang lain.

saya bukan hendak terlalu menekankan penggunaan istilah seperti sesetengah ilmuwan terlalu menekankan terminologi sehinggakan seperti menyusahkan orang ramai memahami dan menggunakan bahasa. tetapi apa yang ditekankan, biarlah kita menggunakan bahasa yang betul dan sesuai. mungkin kita boleh guna perkataan yang funky bila bersembang dengan kawan-kawan walaupun yang disembangkan itu hal-hal agama. Namun, khutbah adalah perantara yang rasmi kerana khutbah adalah rukun sembahyang jumaat. biarlah khutbah itu enak didengar, tidak panjang meleret, mudah difahami tetapi tidak pula sumbang bunyinya...

wallahu a'lam

Aqulu qawli hadha wa astaghfirullaha li wa lakum

Sunday, May 30, 2010

Lagu rakyat

Siapa kata orang kita berbudi bahasa? mungkin berbudi tapi kurang bahasa. bukan tak berbahasa tapi tak bangga dengan bahasa sendiri. anak-anak dah tak pandai menyebut menyebut "jom kita main kat taman mainan". bahasa melayu (malaysia) hanya untuk golongan kasta rendah, golongan kampungan. bukan salah sistem, bukan salah mat saleh, bukan salah Israel tapi orang kita yang dah tak pandang bahasa kita.

Apa kata kita buat sebuah keranda, setiap hari kita hambur ke dalamnya pantun, syair, gurindam, kata-kata orang-orang tua. juga jangan lupa campakkan Sulalatus Salatin bersama. Kuburkan segalanya. barulah moden. barulah up-to-date. barulah berdaya saing di peringkat global. takkan nak cakap melayu kat Afrika selatan. mestilah English!

tapi jangan lupa belajar bahasa Jepun, Korea, China, Perancis, Mexico, Sepanyol, Hindustan, Arab, Hebrew, Turkistan sebab mereka tak faham English dan mereka rasakan tak jadi kudis pun kalau tak reti bahasa Inggeris!!!

Menunggu Segala Tiba

Selama 3 minggu nenda bertarung dengan segala sakit dan keluh, akhirnya dijemput rabbul Izzati. Bukan meratap kepergiannya tetapi mengingati segala tegur dan pesan, buat diri sendiri.

Wahai penyatu keluarga,
Dalam sedih kami bangga denganmu
kerana tidak putus lidahmu menyebut nama Tuhan
kami pasti
engkau penghuni syurga
Nenda,
damailah dikau di sisi tuhanmu.
Kami merindui selalu
Jumpa lagi di sana.

-Alfatihah-

Tuesday, March 09, 2010

Menara Gading Dah Jadi Tempat Berhibur Dan Mencari Jodoh

Sore itu, emosi aku terganggu.

Oleh satu poster. Di sebuah menara gading. Ya, "MENARA GADING" yang kita bangga-banggakan. Yang oleh ibu-ibu bapa-bapa mahu hantar anak-anaknya ke situ.

Tapi mungkin ibu-ibu bapa-bapa tidak jangka akan berlaku satu malapetaka.

Boleh dikatakan malapetaka tetapi jenis malapetaka ini sedang membunuh perlahan-lahan anak-anak bangsa kita (baca: bangsa Malaysia). Mala petaka yang seperti 'frost'. Sesiapa yang pernah ke negeri sejuk lebih arif. Kesejukan yang melampau ini akan membunuh. Mangsa mala petaka ini tidak sedar. Kerana jika yang datang itu api yang marak, mereka akan segera melawan tetapi sejuk itu lebih akrab dengan tubuh badan mereka, lebih membelaikan maka mereka tidak melawan.

Marabahaya yang sedang membuai-buai anak bangsa kita ini sangat bahaya kerana akrab dengan umur mereka yang sedang perawan. Mereka sangat akrab dengan hiburan. Akrab dengan cinta monyet. Akrab dengan jiwa yang berahi.

Dan mereka juga dahaga.

Dahaga pendampingan, persahabatan, cinta. Dahaga pedoman, kebenaran, keselamatan jiwa.

Malang, ketika anak-anak bangsa kita ini sedang menghadapi mehnah-mehnah ini, rakan taulan, sahabat, orang sekeliling, mungkin juga guru mereka, menghidangkan kepada mereka jalan yang singkat juga jalan yang merendahkan hati mereka. Bahkan kesegaran fikiran mereka diwarnai dengan junk info (maklumat remeh dan pramatang). Sekeliling mereka membungkam daya fikir. Hidangan yang mereka dapat di menara gading ini pula hidangan akal yang picisan!

Ini yang saya maksudkan dengan gangguan emosi. Sebuah Institusi Pengajian Tinggi menganjurkan satu forum yang berkisar hal ehwal dalam kelambu - Cinta. Hidup perlukan cinta. Mungkin itu perbincangannya. Dan saya percaya itulah yang dibincangkan. Perbincangan yang tahapnya sesuai untuk pengunjung-pengunjung Jom Heboh, dihidangkan kepada anak-anak bangsa kita yang sedang menjadi calon MAHASISWA, pemegang ijazah!

Seharusnya mereka sudah mula bercakap pasal permasalahan umat sebagai contoh etika global, dialog antara agama, pendemokrasian, ruang awam atau mengupas debat masyarakat sivil bukan perkara picisan! Kenapa ini harus terjadi? Adakah kerana kita sudah hilang daya fikir yang dinamik?

Jadi apa tujuan memasukkan anak-anak kita ke IPT? Untuk jadi seperti yang digambarkan oleh Senu? Pahlawan zaman sekarang bukan lagi memegang senjata tetapi memegang tas tangan kulit, berkemeja bertali leher dan bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin sambil menghisap rokok yang enak?

Allahu Akbar! Inikah tahap pemikiran yang dicitrakan oleh masyarakat kita? Tidak hairanlah jika nanti akan lahir mahasiswa yang menjadi tukang lawak dalam ceramah perdana, yang bercakap tentang teknik helang terbang, cakar kucing, dan seumpamanya.


Jangan terkejut bila kelak lahir ramai graduan seperti yang disebut.



(gambar hiasan)

Monday, March 08, 2010

Jangan baca buku. Baca internet dah cukup (?)

Beberapa tahun yang lalu saya bersama beberapa rakan dari sebuah NGO islam, dipesan untuk membawa seorang pensyarah dari sebuah universiti di Jerman ke sebuah pondok di utara semenanjung. Namanya saya telah lupa. dia sedang menjalankan kajian terhadap sistem pesantren di selatan asia.

Pertama kali bertegur sapa dengannya, setelah diperkenalkan nama, dia fasih menyebut nama saya (lebih fasih daripada beberapa orang ustaz ustazah yang pernah saya jumpa). Saya percaya bahawa dia juga menguasai bahasa arab. Tanpa bicara panjang kami bertolak ke sana. Di pondok, dia menemuramah seorang tenaga pengajar. Dalam temuramah itu saya tercuit dengan pertanyaannya tentang syiah dan sunni. Sebagai seorang yang beragama islam, agak terkilan dan lucu pun ada kerana seorang guru sebuah institusi Islam tidak dapat menyatakan bahawa golongan syiah juga sebahagian dari Islam. Berkali guru itu nafikan Syiah. Sedangkan sarjana Jerman itu sudah sedia faham hubungan Sunni dan Syi'i dalam dunia Islam.

Dan dalam perjalanan pulang, beliau menyatakan kebimbangan terhadap pelajar-pelajarnya kerana budaya membaca buku sudah tidak dititikberatkan lagi memandangkan dunia cyber semakin luas digunapakai. Ini juga diakui oleh kami. Di IPT kitapun kena penyakit yang sama. Mungkin ini (penyakit tak baca buku) harus difikirkan juga oleh guru-guru yang mengajar Islam lebih-lebih lagi yang mengajar di Institusi Islam. Kalau ada lagi orang barat datang mengkaji Islam, kita lebih bersedia dan ringan kepala, lapang dada dan tepat fakta...

How Can You Mend A Broken Heart

(diangkat dari lagu kumpulan legenda, Bee Gees)

I can think of younger days when living for my life
Was everything a man could want to do.
I could never see tomorrow, but I was never told about the sorrow.

And how can you mend a broken heart?
How can you stop the rain from falling down?
How can you stop the sun from shining?
What makes the world go round?

How can you mend this broken man?
How can a loser ever win?
Please help me mend my broken heart and let me live again.

I can still feel the breeze that rustles through the trees
And misty memories do days gone by
We could never see tomorrow, no one said a word about the sorrow.

And how can you mend a broken heart?
How can you stop the rain from falling down?
How can you stop the sun from shining?
What makes the world go round?

How can you mend this broken man?
How can a loser ever win?
Please help me mend my broken heart and let me live again.

Wednesday, March 03, 2010

politi(k)ecamuk

rakan, Muhammad (cintakebenaran) merungut. politik selalu tidak dinilai secara tajam dengan akal fikiran yang waras. sehingga terpalit lumpur yang memburukkan lagi menjijikkan politik itu. ada benar kata-katanya.

Justeru, dalam pengamatan awal saya, politik tidak diamalkan dengan baik kerana pengamal politik masih kurang matang. siapa kurang matang? kebanyakannya politikus-politikus. bila politikus kurang matang, penyakit ini akan berjangkit secara bawah sadar, menjangkiti mereka yang bukan politikus. maka jadilah penyakit seperti suka komplain kesilapan orang lain seolah diri maksum daripada kesilapan atau orang lain perlu maksum daripada kesilapan. akhirnya, wujudlah negara yang suka komplain.

Politik satu seni yang luas. dalam memahami perjalanan politik sesuatu negara, akal yang tajam sangat diperlukan kerana di dalam politik terdapat lebih 1001 kebarangkalian. tidak ada ketetapan. berubah seiring dengan perjalanan waktu. terhenti bila waktu usai berhenti. jadi, rugilah orang yang terkaku di suatu waktu yang menyebabkan kita disebuat "outgoing generation"...

Sunday, February 21, 2010

Surat Untuk Tuhan

(diangkat dari catatan peribadi aku)

Ya AllahSatukanlah hati penganut agama-agama di dunia ini. Bersatu pada kebaikan dan sifat rahman Mu. Telanjangkanlah, terus, gaulilah mereka dalam sifat kemanusiaan yang luhur. Engkau rantaikanlah mereka yang menebar-tebar fitnah dan benih kebencian.Dan Engkau tunjukkanlah kami semua jalan yang benar sesunguhnya serta kami berlindung dengan Mu dari azab seksa-Mu... Amin.


Untuk Isteri Aku

Dunia bukan syurga. Terbentang apa saja. Yang dipinta datang. Yang difikir menjadi. Yang diharap menderap.

Dunia bengis dan ganas bila kita menyerah diri. Pentas korban dan taruhan. Iblis menghasut. Manusia menjerat.

Dunia ini kita bergantung. Pada Tuhan. Bukan manusia. Tak 'da tangan penyelamat kecuali Dia. Tak ada yang memberi suap kecuali Dia.

Mintalah ampun pada Tuhan. Dia tempat bergantung kita.

Saturday, February 06, 2010

"Ajnihatin mutakathirah"

sayap-sayap patah yang berkeratan,
sengaja ku hiris dari badanku
agar manusia dekatiku
dengan pengharapan
dan aku pembela harapan
mempertahan cinta Tuhanku

Aku tahu bangsa manusia tempatnya salah dan lupa
seperti si anak kecil di hadapan bapanya
pimpinan
tuntunan
dari Nya itu diharap
aku yang berdiri di antara
Tuhan dan manusia
penuh percaya
hari yang cerah untuk manusia seluruhnya

Friday, January 01, 2010

Allah (3)

Mahkamah membenar Catholic Herald menggunakan nama "Allah". -klik sumber di sini


saya angkat kembali ayat2 al-quran:

surah al ankabut [61] "Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin Mekah) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "ALLAH".


Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin Mekah) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "ALLAH". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "ALHAMDULILLAH"* (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang, bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (ANKABUT:63)


"Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin Mekah) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "ALLAH". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)." (Luqman : 25)

* maksudnya orang bukan Islam pun menyebut nama ALLAH