Monday, March 30, 2009

Islam yang difahami

Beberapa hari lepas aku tak senang duduk. Ada persoalan yang melintas dalam benak selepas seoarang sepupu aku minta tolong cari bahan assignment. Waktu membaca surat khabar teringat. tengah makan pagi pun teringat. semacam gangguan (mungkin).

Persoalannya mudah tapi berat. tajuk assignment itu "Islam itu indah". tajuk yang umum mungkin memudahkan pelajar untuk membikin. Tapi tidak bagi aku. Ada lagi sisi yang aku nampak. antaranya:

1. Pensyarah itu mahukan pelajar buat assignment yang menunjukkan islam itu indah. tidak kira apa saja nuansa, penemuan, kajian, paradigma dan sebagainya mesti membuktikan Islam itu indah. Cuba kita ambil perbandingan ini- Seorang guru mahukan murid membuat karangan bertajuk "guru manusia suci".

2. Menyingkap sikap manusia terhadap agamanya. ini pula terbahagi kepada dua golongan antaranya golongan taklid dan golongan kritikal. golongan taklid pula ada yang bersifat acuh tak acuh dan ada pula yang bersifat bebal. golongan kritikal pula ada berniat membina dan ada yang berniat perengus.

3. Tajuk yang sebenarnya adalah sebuah rumusan-sama ada rumusan pensyarah atau sesiapa- orang lain pula yang menghuraikan rumusannya. katakan si A telah merumuskan x=8+y tetapi si B yang baru belajar dan tak kenal langsung si A ini dikehendaki menghurai x=8+y

Aku harap kita semua dapat memikirkan kes-kes di atas dengan tenang dan tidak terlalu emosional. Meminjam kata2 Almarhum Syed Husein Alatas: Kita dengan Islam tumbuh tiada berbuah...

Wednesday, March 04, 2009

Allah (2)

Tajuk di atas bukan merujuk kepada menduakan tuhan tetapi bermaksud posting siri ke-2.

Sila baca ayat2 suci al-Quran di bawah ini:

surah al ankabut

[61]Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin Mekah) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah".

[63]Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin Mekah) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

surah Luqman
[25]Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (musyrikin Mekah) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian - tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Gambaran ini tuhan sendiri khabarkan bahawa kaum musyrikin itu sudah mengenal Allah. Mereka sebut dengan lidah mereka sendiri kalimah "ALLAH"!! cuma bedanya mereka menyekutukan Allah!! adakah kalimah ini baru bagi mereka? adakah sebutan Allah tidak wujud sebelum Islam? Adakah cerita tuhan ini (bahawa musyrikin Quraisy menggunakan kalimah Allah) menyesatkan kita?

wallahu a'lam

Sunday, March 01, 2009

Allah

Kini Allah menjadi rebutan. Begitu cintanya manusia pada Allah sehingga direbut-rebut oleh manusia. Sebahagian melarang penggunaan nama Allah. Sebahagian pula telahpun guna nama Allah. Yang peliknya bukan di Malaysia saja telah guna nama Allah, bahkan di negeri2 Arab sendiri. Yang Islam - Allah. Yang kristian - Allah. Yang Yahudi - Allah. dan lain-lain agama pun - Allah.

Soal perundangan saya tak arif. Yang saya arif ialah soal tanya.

1. Mengapa al-Quran menceritakan hal orang2 musyrikin mekah yang mengakui kewujudan Allah? mereka sebut "ALLAH"? sekali lagi "ALLAH"? apabila mereka menyekutukan Allah mereka sebut Al-Lat (kata plural bagi Allah)?

2. Kenapa nama bapa Nabi (s.a.w.) Abd Al-Lah (Abdullah) sedangkan Islam belum lahir di tanah Mekah? seandainya perkataan Allah itu hak milik mutlak Islam, kenapa sudah disebut,diguna pakai perkataan itu oleh masyarakat quraisy sebelum Islam?

Perhatian:

Saya di sini tidak bertujuan mencampuri urusan perundangan. Tidak juga membela mana2 pihak. sekadar lontar persoalan untuk difikir bersama dari segala aspek termasuk aspek perkembangan sosial. masyarakat sudah berpelajaran. Tahniah untuk kementerian pelajaran khususnya dan Kerajaan Malaysia amnya kerana telah memberi pendidikan yang baik sehingga lahir generasi kini matang serta tinggi kualiti diri.

Saya tinggalkan persoalan ini untuk mereka yang berpelajaran dan golongan yang Tuhan puji - Ulul Albab, ummatan wasata, mereka yang berakal.

wallahu a'lam bissawab. wa ilaihil marji'u wa-l ma`ab