Tuesday, February 12, 2008

Inai ukir dilaknat?

Di sini dipetik pandangan Datuk Abu Hasan Din, bekas pegawai agama di istana negara. Saya kutip daripada mstar online:

" Sekarang ini ramai orang perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan.

Mari kita sama-sama merenung hadis Nabi ini:
1. Dari Ibnu Umar r.a katanya: “ Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”..(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim).

2. Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)”..(Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)

Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz : “ inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”.
Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita tidak tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya..
wallahu’alam…


* Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur.


Di sini pula persoalan yang ditimbulkan:

1. Adakah cara pembuatan inai ukir sama dengan cara pembuatan tatu? dan adakah sama inai ukir dengan tatu? bezanya tatu adalah ukiran yang kekal dan sukar dibuang kecuali dengan cara yang menyakitkan. sedang inai ukir adalah ukiran yang tak kekal lama dan akan hilang beberapa minggu kemudian.

2. Benar tatu dilarang oleh nabi s.a.w. Namun, apakah tujuan larangan tatu dan menyambung rambut seperti dalam petikan hadith di atas? Setiap hukum ada maqasid al-syariah (objektif hukum) seperti disyariatkan membayar zakat adalah untuk membantu golongan susah: fakir miskin, mereka yang baru masuk islam dan sebagainya (juga disebut 9 asnaf). Dan kerana sesuatu hukum baru yang hendak diistinbatkan (kias), harus punya 'Illah' iaitu konsep perbandingan hukum sedia ada.