Sunday, November 23, 2008

antaragama

Arab Saudi mula merintis jalan dialog antara agama(klik sini). Walaupun ada pihak yang sinis dengan langkah ini, namun demikian ianya harus menjadi inspirasi kepada mereka yang cintakan agamanya. Dan mereka yang oksigen jarang masuk kepala, bolehlah buat senaman yoga (tak perlu mantera2. belum cuba belum tau)(maaf majlis fatwa. tak berniat nak bangkang keputusan pengharaman yoga.peace!! \o/ )

Wednesday, September 10, 2008

Ramadan dan cinta pada Tuhan III

Ramadan bulan rahmat
bulan keampunan
bulan yang penuh keindahan
mistikal...

Bulan ini juga adalah manifestasi kepada
wujudnya wilayah yang berlebaran
"wilayah hamba dengan Tuhan"
Dan
"wilayah hamba dengan hamba"

Adakah wilayah-wilayah ini bisa bersilangan?
Adakah wilayah-wilayah ini dipedulikan?
Haruskah satu wilayah menaklukkan satu lagi wilayah?
Tepuk dada, tanya akal dan budi
Cerahkan akal
Asahilah budi

Thursday, September 04, 2008

Ramadan dan cinta pada Tuhan II

Aku sembah Tuhan sebab Dia beri aku akal yang sangat bagus ini. Seolah-olah dia beritahu akalku ini paling bagus. Dan kalau boleh aku nak semua orang ada akal yang bagus supaya mudah aku berbicara, mudah nak sampaikan apapun, bebas.

Bagi aku orang yang tak bagus akalnya ialah orang yang selalu ancam kebebasan berfikir orang lain dengan pengerasan.

Wednesday, September 03, 2008

Ramadan dan cinta pada Tuhan

1. Ramadan


Aku belajar dari pensyarah waktu mengaji di UIA dulu. kalau mula datang ramadan, berilah ucapan ini :- "RAMADAN KARIM!"(maksud: bulan ramadan mulia!)(sebut ramadan dengan sebutan arab) dan kalau orang beri ucapan ini, kita balaslah dengan: Allahu Akram! (Tuhan lebih mulia). Dan ramadan mengajar kita menyelesaikan 2 persoalan ini:


i. berpuasa dapat berjimat cermat kerana makan hanya 2 kali sehari. adakah anda(juga saya) boleh menabung? kerana salah satu hikmah berpuasa ialah menjimatkan perbelanjaan

ii. ugama menggalakkan bersedekah di bulan ini. adakah anda (juga saya) mampu bersedekah?


Bila digabungkan persoalan ini: adakah anda/saya boleh menabung (menyimpan duit) sedangkan pula ugama menyuruh bersedekah (mengeluarkan duit)? Ugama memang misteri. Dan aku ingin terjun ke dalam misteri ini!


2. Cinta pada Tuhan

Siapa yang cinta pada Tuhan? Adakah cinta itu kerana 'perintah tuhan'? Adakah kerana syurga? atau kerana takut neraka? Aku ingin tahu apa yang bermain di fikiran orang yang mengaku cinta pada Tuhan. Aku ingin 'feel'. Setakat ini, secara jujurnya, aku merasakan ramai yang cinta Tuhan kerana perintah Tuhan, syurga, takut neraka. Bagaimana pula yang cinta kerana sahaja-sahaja cinta pada Nya?

'Cinta' seperti yang kita anuti, bermakna kedua belah pihak 'memberi dan menerima'. Tetapi lain pula cinta manusia dengan Tuhan mereka, hanya Tuhan saja dapat memberi. Bagaimana pula aku memberi pada tuhan? Ibadah sembah pada Nya? Kalau aku tidak sembah Dia, tak sedikit pun rugi pada Nya. tak sikit pun akan memudaratkan Dia. Akan tetapi kalau Dia tak peduli padaku, habislah aku. Tunggang langgang hidup aku. Jadi, bagaimana aku memberi pada Tuhan yang di'cinta'i?

Setakat ini peganganku, aku memohon agar Dia cinta padaku. Aku percaya aku bahagia kalau Dia cinta padaku. Dan aku memohon agar ditemukan cinta pada Nya sebelum aku hembus nafas terakhir...

Saturday, June 07, 2008

malaikat tak puas hati (pada mulanya)...


Tahukah anda bahawa malaikat, makhluk tuhan yang paling taat setia, selalu ikut perintah Nya, tak pernah ingkar, pun pernah suarakan kerisauan dengan kerja tuhan. Penciptaan Adam (a.s). Inilah pertama kalinya malaikat menyuarakan ke-rasional-an makhluk manusia dicipta sedang mereka adalah makhluk yang suka menumpahkan darah. malaikat tidak sanggup lagi melihat pertumpahan darah berlaku lagi.


Oopss... bagaimana malaikat tahu bahawa manusia suka melakukan kerosakan di muka bumi? Bukankah Adam itu ciptaan Pertama seperti yang kita percaya? Dari mana mereka tahu akibat penciptaan Adam? Luahan yang disuarakan mereka adalah dari nurani mereka.

Mungkin juga telah ada ciptaan manusia sebelum Adam (a.s) yang lebih unggul, lebih agung akan tetapi kaum manusia itu telah dihapuskan oleh Allah s.w.t. lantaran keingkaran dengan melakukan kerosakan, pertumpahan darah yang maha dahsyat dan pelbagai lagi kebobrokan. Betapa dahsyatnya bahkan malaikat sendiri pun seolah-olah takut menyaksikan detik-detik hitam dahulu berulang. Inilah 'nightmare' kepada makhluk-makhluk yang ada pada ketika itu.

Begitulah kebimbangan para malaikat yang harus dijadikan iktibar oleh setiap kita anak cucu Adam ini. Haruskah diulangi peristiwa hitam yang hanya merosakkan alam Tuhan ini? Kerana Dia mencipta kita dengan kasih sayang Nya yang Maha Luas. Walaupun Dia tahu kerisauan malaikat-malaikat ada asasnya namun kasih sayang-Nya melebihi segala sifat-sifat-Nya yang lain. Sesungguhnya Dia maha pemurah dan mengasihani.

Saturday, March 22, 2008

Petua bijak

Ada petua dari orang bijak pandai Cina mengatakan, dalam permainan catur, tidak ada jalan mudah untuk menang tetapi ada jalan yang mudah untuk tidak kalah...iaitu jangan bermain catur!

Begitu juga dengan apa yang terjadi di sekeliling kita, rata-rata nasib orang yang mahu semuanya mudah, akan kalah. mungkin mereka sudah lama dalam keadaan selesa, akibatnya, alpa. seperti katak yang direbus perlahan-lahan, akhirnya mati dalam air panas.

Pandang dengan jujur. Bersedia hadapi kritikan. Realistik. Tanggapi kritikan dengan positif. Progresif dalam tindakan. Elak penipuan. Semua ini adalah kunci kemenangan.

Tuesday, February 12, 2008

Inai ukir dilaknat?

Di sini dipetik pandangan Datuk Abu Hasan Din, bekas pegawai agama di istana negara. Saya kutip daripada mstar online:

" Sekarang ini ramai orang perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan.

Mari kita sama-sama merenung hadis Nabi ini:
1. Dari Ibnu Umar r.a katanya: “ Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu”..(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim).

2. Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)”..(Hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari)

Jelas Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz : “ inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari”.
Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita tidak tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya..
wallahu’alam…


* Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam di Istana Negara, Kuala Lumpur.


Di sini pula persoalan yang ditimbulkan:

1. Adakah cara pembuatan inai ukir sama dengan cara pembuatan tatu? dan adakah sama inai ukir dengan tatu? bezanya tatu adalah ukiran yang kekal dan sukar dibuang kecuali dengan cara yang menyakitkan. sedang inai ukir adalah ukiran yang tak kekal lama dan akan hilang beberapa minggu kemudian.

2. Benar tatu dilarang oleh nabi s.a.w. Namun, apakah tujuan larangan tatu dan menyambung rambut seperti dalam petikan hadith di atas? Setiap hukum ada maqasid al-syariah (objektif hukum) seperti disyariatkan membayar zakat adalah untuk membantu golongan susah: fakir miskin, mereka yang baru masuk islam dan sebagainya (juga disebut 9 asnaf). Dan kerana sesuatu hukum baru yang hendak diistinbatkan (kias), harus punya 'Illah' iaitu konsep perbandingan hukum sedia ada.