Monday, March 26, 2007

yang berkaitan islam

sejak beberapa dekad yang lalu, masyarakat kita seperti 'terjaga' dari tidur yang panjang, iaitu timbul kesedaran akan kepentingan agama. keghairahan kepada islam semakin timbul di sana-sini. bermula dari bank islam, universiti islam hingga ke hari ini. apakah model; atau nilai apa; atau dari siapa; atau dari mana ianya dicontohi? dari zaman nabi? empayar Umayyah? atau republik iran?

benar kita harus kembali kepada quran dan sunnah namun banyak persoalan yang baru tiada di dalam kedua-duanya. bagaimanakah kita menyesuaikan perkara-perkara baru dengan quran dan hadith? masyarakat islam sekarang juga masih terikat dengan mazhab; ini ditambah lagi dengan sebahagian besar agamawan tidak mampu atau tidak mahu melihat sesuatu persoalan luar dari empat mazhab fiqh utama (hanafi, maliki, syafi'e dan hanbali) sedangkan banyak ijtihad yang sedia ada sudah lama. maka ijtihad baru perlu dihasilkan sebagai respon kepada persoalan-persoalan baru yang muncul di alaf baru ini. bagaimana kita merespon perubahan order dunia iaitu post-modernism?juga isu-isu pluralisme, liberalisasi dan sebagainya.

pelabelan islam yang semakin banyak dalam masyarakat perlu difikirkan semula. apabila kita mengaitkan dengan islam bermakna seluruh komponen islam terkait dengannya. islam yang digambarkan oleh penganutnya, islam dalam kitab sucinya, dan tafsiran islam oleh penganutnya. Dan label islam yang sedia ada hanyalah hasil tafsiran islam oleh sesetengah kumpulan bukanlah islam yang idealnya.

proses islamisasi ini dilakukan oleh masyarakat islam sendiri samada daripada individu, ahli politik, hinggalah sekumpulan individu islam. apabila ditimbulkan sesuatu label baru sebagai contoh 'sastera islam', adakah sastera bangsa lain tidak islam? adakah sastera arab membawa citra islam seluruhnya? begitu juga dengan muzik. adakah hanya nasyid muzik islam? bagaimana pula dengan lagu2 bukan nasyid seperti lagu-lagu patriotik?

bukankah kita disaran agar mencari 'hikmah' yang hilang? (hikmah adalah barang yang hilang dari kaum muslimin. andai terjumpa di mana-mana maka kutiplah ia...-hukama). Bermakna, nilai-nilai islam ada di mana-mana. Nilai-nilai yang baik itulah disarankan mencarinya kerana seruan agama itu adalah mengajak manusia memelihara nilai-nilai manusiawi yang tulus dan luhur.