Wednesday, May 31, 2006

dari gerakan dakwah ke...

bermula hari ini, saya akan meluncurkan karya rekaan untuk bacaan anda semua.terpulang kepada anda untuk menilainya.Tajuknya ada di atas.Selamat membaca.

Umur 13 tahun tidak seperti remaja lain.Membesar dalam sebuah keluarga yang begitu ghairah dengan agama.Ibubapanya aktivis yang berjuang dalam sebuah gerakan dakwah yang dipandang unggul.Dalam diri Mujahid (gelaran yang diberi oleh rakan-rakan dalam pertubuhan Islam yang disertainya)terlekat semangat yang diwarisi oleh orangtuanya.

Suasana sekitar faktor utama yang membentuk karakter.Dirinya yang begitu dekat dengan dakwah; parti-parti politik Islam yang yang merupakan 'tangan ghaib' dalam suasana politik negara sememangnya lagi mengghairahkan Mujahid untuk menegakkan syariat yang didedahkan kepadanya. Dan itulah cita-citanya ketika dewasa kelak. Menjadi seorang tokoh politik Islam.

Untuk pengetahuan pembaca, ini bukanlah cerita sebenar.Hanya rekaan semata-mata. Andainya ada kesamaan, itu hanyalah kebetulan yang tak disengajakan.

Mujahid memang suka mendengar ceramah agama.Dia lebih berminat mendengar syarahan daripada pemimpin daripada gerakan yang dia sertai itu. Satu ceramah yang sempat Mujahid rakam untuk dikongsi bersama.

"Assalamualaikum warahmatullah".Dr.Bustanul Arif memulakan bicara...

(bersambung...)

Sunday, May 21, 2006

wacana hampir mati?

Peristiwa bantahan oleh BADAi terhadap forum anjuran BAR Council adalah peristiwa yang penting dalam sejarah negara ini bagi saya. Polemik yang timbul sering ditangani dengan emosional dan nasing-masing ingin tunjuk kuasa. Seharusnya, menurut apa yang diyakini selama ini, konsep al-mujadalah (dialog/wacana) dalam Islam (ditujukan kepada setiap umat Islam yang mendakwa beriman) adalah pegangan yang ampuh. Dan ianya hampir dilupakan atau tidak diendahkan oleh mereka.

Saya tidak menyetujui apa jua bentuk paksaan yang datang dari sesiapa pun kerana yakinlah paksaan hanya akan melahirkan hipokrasi serta boleh jadi meletuskan konflik dalam masyarakat. Carilah jalan terbaik. Mesti ada titik persamaan dan tolak ansur yang ada di sana, malangnya masing-masing ingin menunjukkan ego dan kuasa yang dimiliki. Mungkin ada juga benarnya apa yang disebut oleh salah seorang menteri terhadap sekumpulan penunjuk perasaan di Pulau Pinang tempoh hari sebagai 'tindakan bodoh'.

Friday, May 05, 2006

rahasia

Sudah banyak hari saya tidak menulis di blog ini. Saya punya alasan. Tidak salah diceritakan di sini. Sepanjang tempoh itu saya gelisah memikirkan beberapa persoalan hingga ketika menaiki motor pun bingung. Dan hari kemarin saya temui sesuatu.

Perhatikan kisah ini yang diangkat dari kitab alquran: "Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya. Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?"

Petikan di atas adalah kisah sekumpulan jin yang cuba mendengar perbualan penduduk-penduduk langit. Malangnya kali ini kegiatan mereka berakhir sudah mungkin kerana 'penduduknya' sudah murka dengan pembocoran rahsia. Hukuman lebih berat dan menggerunkan dan tanpa bicara, menanti sesiapa sahaja yang cuba mencuri dengar.

Peristiwa ini dirakam beribu tahun dahulu. Tulang-temulang jin-jin ini mungkin sudah reput (atau jin-jin ini sudah jadi hantu?-pencari2 hantu mungkin dapat menjawab). Seakan-akan 'ruh' jin-jin ini membisik-bisik di telinga saya kerana kebelakangan ini timbul cemuhan kerana di 'bumi' ini pun ada 'malaikat-malaikat' yang mengawal pendengaran!

Persoalannya, adakah implikasi 'perahsiaan' di langit sama dengan perahsiaan di bumi? Adakah wujud tuhan kedua atau manusia ingin berlagak jadi tuhan? Rahsia itu perlu ada namun seringkali manusia mengalaskan penipuan, penindasan yang dilakukan oleh segelintir penguasa, 'cerdik-pandai' dan agamawan sebagai - sesuatu yang sah (konon) demi 'keselamatan umum'.