Saturday, April 29, 2006

sunnah naik unta


Beberapa minggu lepas saya ada menghantar SMS (Sistem Pesanan Ringkas) kepada Sdr. Ahmad Suki, YDP Abim Kedah. Saya ajukan persoalan tentang amalan sunnah dan bagaimana memahami sunnah. Satu premis saya sebut; "umat Islam ramai yang memahami sunnah Nabi naik unta tapi ramai yang tidak memahami atau sengaja tidak mahu meneliti sunnah kecil yang lain seperti nabi memakai jubah, serban dan seumpamanya sehingga ke peringkat seolah-olah ianya wajib". Beliau seorang pensyarah IT yang begitu berminat sekali mempelajari sunnah membalas kurang lebih berbunyi: "ana (saya) tidak fikir ramai yang beranggapan begitu (pewajiban sunnah kecil). Apa yang ramai tidak faham ialah sunnah vs. Adat. Selagi ianya ada nas(menyebutnya) maka ia adalah sunnah."

Saya bersetuju bahawa ramai tidak dapat membezakan antara sunnah dan adat cuma ianya adalah persoalan cabang daripada soalan SMS tadi. Saya tidak tahu samada Suki bersetuju atau tidak jika saya katakan ianya bukan sunnah. Di sini saya tidak bertujuan mengkritik sunnah pemakaian nabi dikalangan masyarakat Islam. Perkara pokok yang harus diteliti ialah pemahaman maqasid (objektif) di sebalik perbuatan nabi itu atau keseluruhan sunnah dalam memahami sunnah dan dalil-dalil syariat Islam keseluruhannya. Untuk memahaminya, banyak faktor perlu diperhatikan antaranya faktor sejarah, budaya, politik, ekonomi dan segenap aspek lainnya.

Ambillah dalil yang selalu disebut-sebut iaitu galakkan nabi kepada sahabat-sahabatnya agar memakai jubah dan serban ketika sembahyang (Suki mungkin dapat mengemukakan nasnya). Sebab-sebab nabi berkata begitu kerana yang dihadapannya adalah masyarakat Arab, memakai jubah, menaiki unta dan budayanya adalah Arab! Ketika itu, sekiranya seseorang keluar rumah tidak memakai sebarang serban atau penutup kepala, dia akan dikira kurang siuman. Maka digalakkan memakai (tidaklah sampai diwajibkan pula) dengan tujuan ketika menunaikan sembahyang biarlah dalam keadaan baik dan sederhana, tidak selekeh. Tujuan ini bukan sekadar untuk menunaikan sembahyang sahaja malahan dalam keadaan apa sekalipun.

Jadi, sunnah itu bukannya meniru sembarono begitu sahaja. Sunnah bukan ‘literal meaning’ semata. Sunnah adalah maqasidnya. Memahami faktor-faktor budaya dan objektif (sebab-musabab) terbitnya hadith itu sangat penting dalam memahami agar kita tidak keliru apatah lagi jika menimbulkan kesulitan untuk melaksanakan. Lebih malang mereka yang membunuh orang-orang bukan Islam atas ayat quran "Bunuhlah orang-orang kafir", lantaran difahaminya secara ‘literal’ ayat ini.

p/s: gambar di atas adalah sekadar hiasan.

Kita dengan Islam: tumbuh tiada berbuah*.

"Kita Dengan Islam" adalah karangan Prof. Syed Hussein Alatas. Buku cetakan Pustaka Nasional, Singapura ini terbit pada tahun 1979. Ianya amat penting kepada mereka yang ingin memulakan pencarian dalam 'worldview' Islam. Buku ini sederhana panjangnya dan sesuai untuk bacaan umum.

Alatas mememulakan penulisannya dengan melontarkan persoalan-persoalan idealisme Islam dan praktikalnya. Umat Islam sering mendengar seruan agar kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Persoalannya, bagaimana? Ayat-ayat al-Quran banyak yang berbentuk umum, kadang-kadang sukar difahami. Sebagai contoh firman Allah yang bermaksud: "Taatilah Allah dan juga taatilah rasul dan ulil-amr (pemimpin) dari kalangan kamu". Ketaatan kepada Allah dan Rasul sudah pasti diyakini oleh semua. Berbeza dengan pemimpin. Pemimpin ramai. Sifatnya juga pelbagai. Ada yang demokratik. Ada yang tirani. Pemimpin yang bagaimana? Dalam aspek apa yang harus mereka diikuti? Inilah antara contoh persoalan yang diluncurkan Alatas agar difikirkan bersama dalam memahami Islam. Alatas tidak mencampakkan was-was jauh sekali hasutan kepada umat akan tetapi beliau mengajak kita berfikir bagaimana memahami Islam dan apakah methodology dalam memahami perintah Quran dan Hadith.

Buku ini amat menarik kerana Alatas membuka ruang minda pembaca dengan membawa kita menelusuri Islam dari sudut yang lebih luas. Bertepatan dengan keahliannya dalam sains sosiologi, beliau menerapkan pembacaan sains sosiolog dan falsafah dalam beberapa perkara pokok tentang prinsipal-prinsipal Islam seperti absolutisme dan relativisme dalam Islam. Perkara ini dibincang panjang lebar dalam bab permulaan. Setelah membincangkan prinsipal-prinsipal, Alatas mengupas aspek-aspek hubungkait Islam dan kehidupan seperti kemasyarakatan, seni sastera dan lain-lain. Apa yang dapat saya fahami, dalam bab-bab pertengahan, beliau menyentuh secara tidak langsung soal uniformity Islam. Pandangan popular dalam masyarakat Islam ialah Islam telah wujud dalam bentuk-bentuk yang telah tersedia seperti pakej; seni Islam, ilmu Islam dan sebagainya; namun ianya telah dicetuskan daripada indoktrinisasi tokoh-tokoh tertentu. Alatas cuba mengajak kita berfikir kerelevanan uniformiti ini. Dalam bab-bab akhir Alatas menghuraikan apa yang telah disebut beliau dalam pengantarnya beberapa contoh 'manusia lama' dan 'manusia baru' dari tokoh muslim. Manusia lama yang disebutnya merujuk kepada figur-figur yang membawa pemikiran lama, fundemantal, serta statik. Antara manusia lama yang disebut oleh Alatas ialah Maududi, Abul-Hassan Ali Al-Nadwi, Muhammad Asad, Muhammad Qutb dan lain-lain. Manakala manusia baru ialah figur-figur yang membuka luas pemikiran umat dalam membangun nilai-nilai budaya. Beliau mengambil beberapa contoh iaitu Muhammad Natsir (Perdana Menteri pertama Indonesia), Soekarno (sebelum revolusi)–Presiden pertama Indonesia– dan Sutan Syahrir.

Keseluruhannya, buku ini amat penting bagi setiap umat khususnya mereka yang begitu yakin dengan doktrin yang dianutnya. Adakah doktrin yang dianut itu benar-benar substan? Atau doktrin itu sebenarnya suatu taklid tanpa diselidiki dengan mendalam? Buku ini saya kenali sekitar tahun 2004. Kalau dikirakan agak lewat kerana buku ini sudah 25 tahun diterbitkan ketika saya mengenalinya. Agak terkilan kerana buku ini sudah 'out of print'. Saya tidak tahu kenapa ianya sudah tidak diterbitkan lagi. Adakah tidak mendapat sambutan atau dipulaukan oleh golongan tertentu. Saya menyarankan semua lapisan masyarakat Islam membaca buku ini, daripada ilmuwan, usahawan, pekerja-pekerja, ahli-ahli gerakan Islam khusunya, agar terbuka pandangan akal kepada dunia yang begitu luas dan banyak khazanahnya. Walaupun sudah out of print, buku ini masih boleh didapati di beberapa perpustakaan. Saya percaya ia ada di rak perpustakaan-perpustakan awam setiap negeri. Secara peribadi, buku ini telah mengubah cara berfikir saya.

*dipinjam daripada nama buku karangan Prof. Syed Hussein Alatas, "Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah", Pustaka Nasional Singapura, 1979.

Thursday, April 27, 2006

Anda semua dialu-alukan

Setiap manusia punya akal fikiran yang sememangnya tidak berdosa. Hanya setelah ia dibaurkan dengan nafsu amarah serta pengabaian pada kebaikan akan mendorong manusia itu melakukan pensia-siaan atau kejahatan. Tiada salah berfikir atau berdosa dengannya sehinggalah diterjemahkan dengan perbuatan maka sesudah itu hasilnya samada baik atau keji. "Tidakkah kamu berfikir?" al-Quran.

Saya amat mengalu-alukan apa sahaja buah fikiran dan pendapat daripada semua pembaca. Zahirkan seikhlas mungkin tanpa ketakutan.