Friday, December 08, 2006

ceritalah

saya baru menemui satu hikayat melayu atau nusantara.sulalatus salatin (juga dikenali sebagai Sejarah Melayu). saya tidak berpeluang menikmati karya ini kerana ketika bersekolah saya tidak belajar sastera, melayu atau inggeris. Kalau ada yang mendakwa saya ahli sastera, itu salah kerana saya masih bertatih. tidak timbul minat atau tiada orang yang memperkenal kepada saya. kerana waktu itu saya lebih ghairah dengan buku 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam?' tulisan fathi yakan yang telah menjadi buku teks fundamentalis islam. dalam pemerhatian saya, kalangan fundamentalis ini,terutama dalam iklim malaysia, kurang ghairah dengan khazanah peradaban-peradaban bangsa dunia.bukan golongan ini sahaja, bahkan ramai lagi kalangan yang tidak tertarik dengan bacaan ini kerana sebab-sebab yang telah saya singgung tadi – tidak minat atau tiada promosi daripada cerdik pandai pensyarah-pensyarah universiti. (dalam kesempatan lain kita akan mengumpat* pensyarah2 universiti.)

saya membaca sulalatus-salatin bukan kerana saya penganut nasionalisme atau ultra-semangat-ke-melayu-an yang terkobak-kobak hunus keris menyucuk angin, terjerit terlolong,sampai naik urat tengkok.saya cuba menghabiskan bacaan hanya untuk menikmati gaya bahasa dan mengambil iktibar yang berharga.saya syorkan, bacalah.

minggu lepas rakan pejabat saya promote satu filem mandarin- a battle of wits(lebih kurang bunyinya) mengisahkan kehebatan ahli perang zaman tamadun Cina yang bijak menggunakan taktik psikologi. saya bersetuju dengan kisah itu. orang-orang dalam tamadun china memang bijak dan licik. saya pun temui kisah persis itu dalam sulalatus salatin.

alkisah, dalam sulalatus salatin, Raja Suran seorang raja dari keturunan penakluk agung, iskandar zulkarnain, berasal dari benua keling (sub-kontinen; India) sedang ingin menakluk negeri China. baginda bersama bala tenteranya telah mengalahkan beberapa negeri dari benua keling hingga alam nusantara ini dalam ekspedisinya menakluk negeri China.

sampailah khabar raja suran hendak menaklukkan negeri china ke pendengaran maharaja china. runsing pemerintah china dengan khabar itu kerana peperangan menelan belanja besar serta menyusahkan rakyat-rakyat. kalau kalah, lagilah ruginya. maka atas kebijaksanaan perdana menterinya, disuruh menyiapkan satu perahu yang paling besar, diisi dengan jarum-jarum halus dan karat, ditanam pula di dalamnya pokok kesmak dan pohon-pohon yang ada buah, disuruh pula orang yang tua-tua – yang sudah tanggal gigi, lalu dipesan oleh perdana menteri dengan beberapa pesan. Maka belayarlah mereka ke Temasik.

Sesampai ke Temasik, mereka didatangi pengawal-pengawal Raja Suran atas titah perintah baginda, ditanya kepada mereka berapa jauh negeri China dari Temasik ini. Maka kata china itu, “tatkala kami keluar dari benua China, kami masih muda-muda belaka, baharu dua belas tahun umur kami, dan segala buah-buahan ini bijinya kami tanam, kami pun semakin tua, gigi kami semua pun habis tanggal; segala-buah-buahan yang kami tanam itu berbuahlah, baharulah kami sampai ke mari.” Maka diambil jarum ada beberapa bilah itu, ditunjukkannya pada keling itu, katanya, “besi ini kami bawa ke mari dari benua china seperti lengan besarnya, sekarang inilah tinggalnya habis haus; demikianlah peri lamanya kami di jalan, tiadalah kami tahu akan bilangan tahunnya.”

Setelah disampaikan percakapan china itu kepada Raja Suran, baginda pun membatalkan hasrat untuk menakluk China.

Lucu juga mendengarnya. Mungkin sebab kat negeri China ramai orang bijak, timbul hadith ‘tuntutlah ilmu walau ke negeri China’… haha

* mengumpat yang diluluskan oleh syarak. Halalan tayyiba.

Friday, November 24, 2006

kepada Hazimi (rahimahullah)

Zimi,kalau aku tau apa yang terjadi akhir-akhir ni, aku akan balik lebih awal. aku boleh bawa reta. biaq hang tidoq sebelah. kalau hang ada kat sini, aku nak bgtau, hari tu mmg aku nak blk sana. silap aku tak talipon hang pagi tu.kalau hang tau aku nak blk mungkin hang lebih hati-hati. tapi, semua kita hanya pementas kehidupan.bila-bila saja Pengarahnya akan tarik kita ke bawah pentas.

walaupun dah dekat tiga bulan kita tak jumpa, kenangan kita macam baru kemarin. hang muda lagi. kenapa hang tinggalkan semua ni? hang kesian tak kat famili hang?hang kesian tak kat org-org yg rapat dgn hang?

aku tau, hang tak sampai hati nak tinggalkan semuanya tapi percayalah, ada yang lebih menyayangi daripada kami semua - tuhan.

di sini kami berdoa untuk hang. aku dedikasi sajak ni untuk hang.(terima kasih kepada pengarangnya.http://www.geocities.com/sajak29/swakarya.htm)

Sarapan Pagi

marilah kita bersama-sama
bersarapan pagi
di meja bulat ini.

pada pagi ini
matari belum lagi tinggi
tapi kita perlu menyegerakan diri
untuk menyelongkar derita
yang tersembunyi
di stesen bas dan kereta api
di pasar-pasar raya
di pondok-pondok rukun tetangga
di surau-surau
di kedai kopi
dan tandas awam.

sebelum itu
tuangkan kopi panas ke dalam cawan
mentegakan roti bakar dan bibir kering
taburkan gula buat pemanis
dan bersarapanlah
kerana pasti kau tidak akan
mengunyah derita
yang telah kautemui
di bandar ini.

(suhaib:kita selalu bersarapan pagi sama-sama)

Monday, November 06, 2006

Sialan kau! Saddam

Seorang pensyarah saya (UIA) orang Iraq terkejut besar tatkala mendengar seorang imam membaca khutbah berdoa untuk keselamatan Saddam Hussein. ketika itu dia baru saja sampai ke negara ini sekitar awal tahun 1990-an.

Hairan! bagaimana 'orang-orang beriman' di sini memihak kepada si syaitan itu? mungkin mereka tak tau yang beratus ribu saudara maranya di sana dibunuh Saddam bagai dia menampar nyamuk. murahnya nyawa rakyat di tangan seorang penguasa.

Iraq pernah berperang dengan Iran. perang yang terkenal itu saja telah mengorbankan begitu ramai nyawa rakyat. tak habis di situ. mereka yang tidak menyertai tentera Iraq, terutamanya lelaki, dipotong telinga, kononnya tidak mempedulikan perintah.

kalau nak ditulis satu persatu kezaliman yang dilakukan saddam, tak cukup. mungkin setimpal hukuman yang dikenakan ke atasnya walaupun berjuta jiwa raga terluka hatinya. entah si syaitan ini sedar atau tidak. sempat lagi melaungkan “Hidup Iraq! Hidup rakyat Iraq! Allah lebih besar daripada penceroboh!” Hidup apanya? kau dah ragut berjuta hidup rakyat kau!

Wednesday, October 11, 2006

renungan

"Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu (dengan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. "
(al-maidah:48)

Wednesday, September 20, 2006

benedict XVI

saya ingin bertanya kepada sesiapa yang sudah membaca ceramah Pope Benedict XVI tempoh hari lalu, (klik untuk baca) apakah kenyataan pope ini-yang menimbulkan kemarahan umat islam kebanyakan- satu quotation daripada kata2 pemerintah kristian byzantium Manuel II Paleologus pada kurun ke 14 atau pendapat beliau sendiri? ataukah pope memang bermaksud menghina nabi muhammad (s.a.w) dan islam? apakah tujuan keseluruhan teks ucapannya itu?adakah terdapat di dalam ucapan beliau satu perdebatan falsafah tentang hubungan dunia Islam dan Kristian?

Dan soalan untuk orang-orang yang punya jawapan, bagaimana hendak mengatasi penyakit umat kebanyakan yang dilihat gagal mendepani polemik atau dialog peradaban melainkan hanya membaurkan ia dengan amarah yang kehilangan rasionalnya?

Sunday, August 27, 2006

semua agama sama II

saya mendapat reaksi daripada tulisan semua agama sama sebelum ini. ada 2 jenis reaksi daripada 2 golongan manusia.

golongan pertama ialah golongan yang boleh dipanggil orang awam. saya kategorikan mereka sebagai orang awam kerana mereka tidak punya agenda atau apa-apa matlamat. boleh jadi mereka tidak belajar agama secara formal atau mereka belajar tetapi mereka dapat faham jelas mesej saya dengan lapang dada.

golongan kedua ialah golongan yang boleh saya katakan mereka yang obses dengan semangat agama. sesetengah sarjana barat menggelar mereka 'fundamentalist'.

golongan pertama telah saya singgung tadi. manakala golongan kedua saya dapati seperti mudah melenting kerana membaca tajuknya sahaja. bikin ribut(kontroversi). tapi saya pula dikatakan timbulkan kontroversi. mereka mengatakan tajuk ini boleh mengelirukan tapi hairan pula golongan pertama tidak pula seribut mereka?

ini satu gambaran moral masyarakat kita yang suka mencanang-canangkan kontroversi sebelum ternyata ianya satu kontroversi.

tahu pula golongan ini bahawa tulisan saya sebelum ini bukanlah suatu yang kontroversi kecuali tajuk. yang diperdebatkan, tajuk. bukan isi. saya hairan dengan sikap sebegini.

lihat sikap sesetengah golongan masyarakat kita berdepan dengan isu bahasa seperti yang menimpa sharifah amani. juga nasib filem amir muhammad 'lelaki komunis terakhir'. apa matlamat kita sebenarnya?

Saturday, August 19, 2006

penjajah II

apa tujuan kedatangan portugis, belanda, british, jepun ke rantau ini? 'menyebarkan agama.menghapuskan islam.menyebarkan ideologi.melebarkan pengaruh politik kekuasaan.menindas.memeras hasil bumi.Dan 1000 lagi alasan mereka', kata anak bumi yang dijajah. benar mereka mempunyai agenda.

Tidak semua mereka yang datang ke sini punya agenda sedemikian. Sir Stamford Raffles sebagai contoh seorang pegawai inggeris yang datang ke rantau ini dengan semangat menjejak ilmu pengetahuan. beliau telah mengkaji beribu flora dan fauna yang berdiam di nusantara ini. dan menurut sesetengah sarjana, nama bunga terbesar (rafflesia*) diilhami oleh Stamford Raffles.

Tuesday, August 15, 2006

kenali penjajah negara

sempena merdeka ini, saya rasa terpanggil untuk kita kenali siapa sebenarnya penjajah?penjajah british, belanda, sepanyol dll. saya tidak akan membicarakan penjajah bentuk baru seperti yg dicanang oleh Tun Mahathir sewaktu dia jadi PM dulu.

tujuannya agar kita kenal bangsa penjajah. kerana kita selalu pukul rata bangsa yang menjajah itu seolah2 seluruh bangsa mereka menanggung dosa yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka yang lain. Dan juga agar kita dapat mengutip sesuatu yang berharga daripada khazanah peradaban 
mereka.

apabila kita tidak dapat menyedari siapa yang sebenarnya penjajah, maka kita akan terbelenggu oleh prasangka yang bukan2 terhadap bangsa itu...

Friday, August 11, 2006

gerakan islam tak suka buang masa?

Dakwaan yang mengatakan bahawa orang yang suka berbicara, debat, habiskan masa dalam perkara-perkara yang tidak membuahkan faedah perlu diteliti semula. Kononnya perbuatan ini adalah sia-sia kerana banyak persoalan agama telah disepakati ulama. Lebih baik dihabiskan masa pada menyelesaikan masalah umat, kebejatan sosial, dan 1001 lagi penyakit umat.

Dalam indoktrinisasi sebegini terutama yang dilakukan oleh kebanyakan NGO dakwah kepada ahli-ahli, setiap ahli punya peranan sendiri samada dalam pengurusan, parti politik, pendidikan, bisnes, dan sebagainya. Kerana semuanya harus balik kepada satu doktrin. Sayangnya, golongan ini terleka pada satu sisi yang maha penting iaitu wacana. Mungkin kerana terlalu sibuk mencipta program, menyebarkan doktrin(berusaha agar orang ramai berfikir seperti mereka berfikir), tanpa disedari intelektual mereka sedang mengalami proses pemandulan.

Pengabaian kepada keterbukaan atau kebebasan wacana menyebabkan kerumitan – yang sememangnya wujud dalam sosial – semakin bertambah rumit. Wacana yang seharusnya merungkai kesulitan atau mencari jalan rasionalisasi secara baik sering ditepis dengan kekerasan, desakan, penggunaan kuasa. Adakah kita telah diserang penyakit bebal hingga tidak mahu berwacana? Di manakah kita meletak ajaran kitab suci quran agar bermujadalah (berdialog) dengan berlapang dada?

Harus bagi kita bersama mengkaji secara serius, memberi perhatian dan bersungguh-sungguh terhadap persoalan-persoalan sosial terutama yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Pengkajian harus dilakukan dengan pembacaan, penulisan, dialog dan sebagainya. Namun banyak wacana dalam masyarakat kita masih belum didialogkan diperdebatkan secara telus dan tulus seperti persoalan moral awam, moral masyarakat terhadap sesama anggota dan terhadap anggota yang berlainan faham, ideologi, agama. Adakah wujud penindasan sesuatu ideologi terhadap ideologi lain? Apakah approach dalam menghadapi keragaman masyarakat? Adakah wajar satu-satu faham menekan faham yang berlainan daripadanya? Persoalan-persoalan seperti inilah yang masih belum diperdebatkan kerana ia melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang. Tiadakah golongan-golongan NGO yang berminat terhadap persoalan ini? Tibalah masanya kita bersama-sama fikir kerana ini bukan masalah sesetengah pihak saja. Ini persoalan kepada sesiapa saja yang berada dalam masyarakat negara ini, bangsa Malaysia!

Amat malang seandainya kita telah menganggap satu-satu doktrin itu benar, yang lainnya tak benar atau doktrin lain lemah, tak sempurna lantas mengabaikan golongan lain. Tanggapan begini hanya melemahkan semangat dalam berwacana. Lantaran sudah terlalu yakin dengan doktrin kumpulannya (jemaahnya) maka tidak perlu lagi diperbaharui atau diulang kaji semula. Akhirnya, kekuasaan yang menentukan. Siapa yang lemah pasti akan diancam, ditakut-takutkan, ditindas-tindas, seperti perlakuan Hitler yang menghapuskan sesiapa saja yang kononnya menentang ideologi Nazi. 

Wednesday, August 09, 2006

Pesanan penting kepada pembaca

Apabila seseorang itu telah mencecah umur lebih 18 tahun, maka menurut perlembagaan malaysia, 
dia berhak membuat pilihannya sendiri.  Menurut Islam pula, setelah seorang anak itu sudah mencapai aqil, baligh, boleh membuat penilaian yang mana baik buruk, maka ibu bapanya tidak dipertanggungjawabkan atas apa sahaja tindakan, kata-kata dan apa saja daripadanya (dosa pahala tidak ditanggung oleh ibubapa) (wala taziru waziratun wizra ukhra) kerana sudah selesai tanggungjawabnya mendidik. Apa yang dibenarkan ialah nasihat.

Saya ingin berpesan kepada pembaca yang terpanggil untuk memberi pandangan, teguran, kekeliruan kepada saya tentang blog ini atau apa2 artikel daripada saya, sila panjangkan komen,kritik dan apa saja yang ingin diluah kepada saya bukan ibu bapa saya!

tentang ibu bapa, biarlah mereka tahu sendiri bukannya mengadu kepada mereka. perlakuan sesetengah pihak yang cuba 'mengacum'(kata orang utara) kepada orang tua saya boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan kami anak beranak. perbuatan mereka ini tak ubah seperti seorang kanak2 manja. fikirkanlah andai ini terjadi kepada anda...

Friday, July 07, 2006

WS Rendra

Hari ini, teringat saya pada Rendra (klik untuk membaca), seorang pemuisi, penggiat seni dari seberang, Indonesia. Nama beliau sebaris dengan Pramoedya Ananta Toer (alm.), Ajip Rosidi, Taufiq Ismail dan ramai lagi. Di sana pemuisi tidak seperti pemuisi di tempat lainnya. Golongan ini bukan calang-calang orang. Tidak perlu jadi pegawai dewan bahasa, cukup hanya menjadi penulis, pasti mereka bisa menggugat sesiapa saja.

Sejak merdeka atau hari revolusi Indonesia, mereka adalah salah satu golongan yang membentuk wajah bangsa Indonesia hingga hari ini. Merekalah 'guru-guru' bangsa yang boleh kita pelajari serba sedikit tentang prinsip2 hidup hinggalah demokrasi. Tidak hairanlah ramai budayawan sepertinya pernah ditangkap oleh rejim2 Order Lama dan Order Baru sejak Soekarno. Seharusnya golongan penulis, pemuisi, penggiat seni adalah juga golongan intelektual (mungkin kerana mereka bukan seperti pensyarah universiti atau intelegensia lain yang memakai 'neck-tie').

Sebagai mengingatinya, salah satu puisinya akan dipapar di sini.

Sajak Orang Kepanasan

karena kami makan akar
dan terigu menumpuk di gudangmu
....karena kami hidup berhimpitan
dan ruangmu berlebihan .....maka kita bukan sekutu
karena kami kucel

dan kamu gemerlapan .....karena kami sumpeg
dan kamu mengunci pintu .....maka kami mencurigaimu
karena kami terlantar di jalan

dan kamu memiliki semua keteduhan .....karena kami kebanjiran
dan kamu berpesta di kapal pesiar .....maka kami tidak menyukaimu
karena kami dibungkam

dan kamu nrocos bicara .....karena kami diancam
dan kamu memaksakan kekuasaan .....maka kami bilang TIDAK kepadamu
karena kami tidak boleh memilih

dan kamu bebas berencana .....karena kami cuma bersandal
dan kamu bebas memakai senapan .....karena kami harus sopan
dan kamu punya penjara .....maka TIDAK dan TIDAK kepadamu
karena kami arus kali dan kamu batu tanpa hati

maka air akan mengikis batu

RENDRA
(DARI KUMPULAN PUISI "PERJALANAN BU AMINAH"( YAYASAN OBOR INDONESIA - 1997 )

Thursday, July 06, 2006

selimuti hatimu

Ada satu lirik lagu yang akan diangkat di sini daripada album republik cinta, Dewa 19. Sekiranya didengar lagunya dan lirik, melodinya simple dan saya sangat suka akan ia.Tajuk: Selimut Hati.

Aku kan menjadi malam-malam mu..kan menjadi mimpi-mimpimu. Dan selimuti hatimu..yang beku.

Aku kan menjadi bintang-bintangmu, kan slalu menyinarimu..dan menghapus rasa rindumu, yang beku

Aku bisa menjadi apa yang kau minta..untuk menjadi apa yang kau impikan.. tapi ku tak bisa menjadi dirinya.

Aku kan menjadi embun pagimu yang kan menyejukkan jiwamu
Dan kan membasuhi hatimu..yang layu

Tinggalkan sejenak lalumu..beri sdikit waktu kepadaku tuk meyakinkanmu

Aku kan menjadi malam-malam mu..kan menjadi mimpi-mimpimu. Dan selimuti hatimu..selimuti hatimu...

Wednesday, June 21, 2006

sunyi

aku tak pernah rasa sunyi macam ni. aku mencari rakan(atau rakan-rakan)(boleh ku anggap sebagai rakan sembang), sesiapa saja, aku tak memilih. cakap pasal apa saja. dan ada antara mereka yang bagus ideanya ku temui. idea tak semestinya baru.yang penting kita mengolahnya.
kamal attaturk, bapa moden turki (almarhum) setelah mencapai puncak kuasanya, setelah mendapat kepatuhan penuh menteri-menterinya hinggalah rakyatnya, akhirnya merasakan kosong.kaum pembangkang dalam politiknya telah berjaya dikekang, bungkam. tiada yang berani menegur apalagi melawan!

tak tahan dengan keadaan itu, attaturk mengambil seorang budak sebagai anak angkat. dia untung. kerana budak kesayangan attaturk itulah satu-satunya manusia yang berani menegurnya hinggalah dia menghembus nafas terakhir.

pengkritik, penasihat dan siapa saja yang boleh menegur dan berbincang harus dihargai. tak ramai yang 'gentleman' menerima teguran. selalunya kita lihat orang yang ditegur melenting.

aku tidak akan menolak mereka yang mengkritik aku. setakat ini, terutama dalam mencabar intelektualisme aku, aku masih mencari. penat belajar enam tahun...

Friday, June 16, 2006

semua agama sama

Tajuk saya di atas adalah satu kenyataan yang terlalu umum untuk difahami. Andainya sesiapa mengambilnya sebagai rumusan, tanpa sebarang hujah, adalah salah! Rumusan mestilah disertakan dengan argumentasi. Dan rumusan bukanlah muktamad kerana ianya akan sentiasa boleh dikaji dan diselidiki semula.

Kenyataan semua agama adalah sama tidak seharusnya diambil secara dangkal atau ditolak mentah-mentah tanpa sebarang rasionalisasi. Dapatlah dikatakan ianya bermula dengan disiplin kita dalam memahami pluralisme. Dan penolakan umum masyarakat kita terhadap pluralisme adalah penolakan secara taklid terhadap sesuatu tafsiran, yang mana kebanyakan tafsiran itu tidak terbuka.

Beberapa perkara yang harus diteliti dan diselidiki dengan terbuka kerana tidak selamanya manusia itu bersatu pandangan secara mutlak lantaran perbedaan bangsa, warna kulit dan iman.

Setiap agama menyeru kepada kebenaran iaitu kebenaran yang ada dalam agama masing-masing. Sebagai contoh, semua kebenaran yang ada dalam Islam bukanlah kebenaran bagi agama lain. Perhatikan: firman tuhan dalam alquran: "Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam". Kita mungkin tidak temui firman tuhan ini dalam mana-mana kitab agama lain. Sedangkan agama seperti Hindu-Buddha, Yahudi, Kristian lebih lama wujud sebelum Islam dan mereka boleh mengklaim, agama yang lebih awal adalah lebih 'authentic'.

Daripada perbezaan yang disentuh tadi, dapatlah dilihat mana mungkin agama itu (secara hakikatnya) membenarkan agama lain. Seandainya terjadi sebegitu, persoalan besar yang akan timbul, kenapa tidak dibubarkan agamanya dan masuk ke agama yang ia dapati benar? Adalah kurang bijak jika diteruskan dalam kegelapan.

Kita sering melihat perbezaan tanpa menyedari persamaan yang sememangnya wujud di antara agama-agama. Mungkin persamaan yang ada seperti konsep keesaan tuhan yang harus dibincangkan. Dialog yang bebas dan jujur harus dilakukan dalam mencari kebenaran dan bukannya penutupan ruang itu dengan tekanan samada kuasa politik atau ekonomi.

Tuesday, June 13, 2006

gambar


apakah yang anda lihat? terpulang kepada anda menginterpretasikannya

Thursday, June 01, 2006

sambungan "dari gerakan dakwah ke..."(DGDK)

Para hadirin yang dihormati sekalian, Islam mengajak kita bersatu dalam memikul tugas dakwah tidak mengira apa saja latarbelakang. Firman Allah S.W.T dalam surah al-Saf ((Sesungguhnya Allah sangat girang akan mereka yang berperang (jihad) dalam saf seolah-olah mereka itu satu bangunan yang kukuh)). Percayalah ayat-ayat Allah ini.

Maksud ayat ini, Allah SWT menyuruh kita sama-sama berdakwah. Inilah cita-cita Islam. Menegakkan daulah Islam mestilah secara berperingkat. Bermula dari diri iaitu keperibadian Islam, keluarga Islami, masyarakat Islami dan akhirnya khalifah Islamiah yang memerintah dunia.

Hadirin hadirat yang dihormati,
Cita-cita ini perlukan dokongan dari peringkat bawahan. Seperti ayat yang saya bacakan tadi, jelas Allah menyeru kita bersatu dalam satu saf iaitu jemaah mereka yang ingin menegakkan syariat Allah. Namun, untuk mencapai hasrat ini, kita perlukan jalan bagi memudahkannya.

Wednesday, May 31, 2006

dari gerakan dakwah ke...

bermula hari ini, saya akan meluncurkan karya rekaan untuk bacaan anda semua.terpulang kepada anda untuk menilainya.Tajuknya ada di atas.Selamat membaca.

Umur 13 tahun tidak seperti remaja lain.Membesar dalam sebuah keluarga yang begitu ghairah dengan agama.Ibubapanya aktivis yang berjuang dalam sebuah gerakan dakwah yang dipandang unggul.Dalam diri Mujahid (gelaran yang diberi oleh rakan-rakan dalam pertubuhan Islam yang disertainya)terlekat semangat yang diwarisi oleh orangtuanya.

Suasana sekitar faktor utama yang membentuk karakter.Dirinya yang begitu dekat dengan dakwah; parti-parti politik Islam yang yang merupakan 'tangan ghaib' dalam suasana politik negara sememangnya lagi mengghairahkan Mujahid untuk menegakkan syariat yang didedahkan kepadanya. Dan itulah cita-citanya ketika dewasa kelak. Menjadi seorang tokoh politik Islam.

Untuk pengetahuan pembaca, ini bukanlah cerita sebenar.Hanya rekaan semata-mata. Andainya ada kesamaan, itu hanyalah kebetulan yang tak disengajakan.

Mujahid memang suka mendengar ceramah agama.Dia lebih berminat mendengar syarahan daripada pemimpin daripada gerakan yang dia sertai itu. Satu ceramah yang sempat Mujahid rakam untuk dikongsi bersama.

"Assalamualaikum warahmatullah".Dr.Bustanul Arif memulakan bicara...

(bersambung...)

Sunday, May 21, 2006

wacana hampir mati?

Peristiwa bantahan oleh BADAi terhadap forum anjuran BAR Council adalah peristiwa yang penting dalam sejarah negara ini bagi saya. Polemik yang timbul sering ditangani dengan emosional dan nasing-masing ingin tunjuk kuasa. Seharusnya, menurut apa yang diyakini selama ini, konsep al-mujadalah (dialog/wacana) dalam Islam (ditujukan kepada setiap umat Islam yang mendakwa beriman) adalah pegangan yang ampuh. Dan ianya hampir dilupakan atau tidak diendahkan oleh mereka.

Saya tidak menyetujui apa jua bentuk paksaan yang datang dari sesiapa pun kerana yakinlah paksaan hanya akan melahirkan hipokrasi serta boleh jadi meletuskan konflik dalam masyarakat. Carilah jalan terbaik. Mesti ada titik persamaan dan tolak ansur yang ada di sana, malangnya masing-masing ingin menunjukkan ego dan kuasa yang dimiliki. Mungkin ada juga benarnya apa yang disebut oleh salah seorang menteri terhadap sekumpulan penunjuk perasaan di Pulau Pinang tempoh hari sebagai 'tindakan bodoh'.

Friday, May 05, 2006

rahasia

Sudah banyak hari saya tidak menulis di blog ini. Saya punya alasan. Tidak salah diceritakan di sini. Sepanjang tempoh itu saya gelisah memikirkan beberapa persoalan hingga ketika menaiki motor pun bingung. Dan hari kemarin saya temui sesuatu.

Perhatikan kisah ini yang diangkat dari kitab alquran: "Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya. Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?"

Petikan di atas adalah kisah sekumpulan jin yang cuba mendengar perbualan penduduk-penduduk langit. Malangnya kali ini kegiatan mereka berakhir sudah mungkin kerana 'penduduknya' sudah murka dengan pembocoran rahsia. Hukuman lebih berat dan menggerunkan dan tanpa bicara, menanti sesiapa sahaja yang cuba mencuri dengar.

Peristiwa ini dirakam beribu tahun dahulu. Tulang-temulang jin-jin ini mungkin sudah reput (atau jin-jin ini sudah jadi hantu?-pencari2 hantu mungkin dapat menjawab). Seakan-akan 'ruh' jin-jin ini membisik-bisik di telinga saya kerana kebelakangan ini timbul cemuhan kerana di 'bumi' ini pun ada 'malaikat-malaikat' yang mengawal pendengaran!

Persoalannya, adakah implikasi 'perahsiaan' di langit sama dengan perahsiaan di bumi? Adakah wujud tuhan kedua atau manusia ingin berlagak jadi tuhan? Rahsia itu perlu ada namun seringkali manusia mengalaskan penipuan, penindasan yang dilakukan oleh segelintir penguasa, 'cerdik-pandai' dan agamawan sebagai - sesuatu yang sah (konon) demi 'keselamatan umum'.

Saturday, April 29, 2006

sunnah naik unta


Beberapa minggu lepas saya ada menghantar SMS (Sistem Pesanan Ringkas) kepada Sdr. Ahmad Suki, YDP Abim Kedah. Saya ajukan persoalan tentang amalan sunnah dan bagaimana memahami sunnah. Satu premis saya sebut; "umat Islam ramai yang memahami sunnah Nabi naik unta tapi ramai yang tidak memahami atau sengaja tidak mahu meneliti sunnah kecil yang lain seperti nabi memakai jubah, serban dan seumpamanya sehingga ke peringkat seolah-olah ianya wajib". Beliau seorang pensyarah IT yang begitu berminat sekali mempelajari sunnah membalas kurang lebih berbunyi: "ana (saya) tidak fikir ramai yang beranggapan begitu (pewajiban sunnah kecil). Apa yang ramai tidak faham ialah sunnah vs. Adat. Selagi ianya ada nas(menyebutnya) maka ia adalah sunnah."

Saya bersetuju bahawa ramai tidak dapat membezakan antara sunnah dan adat cuma ianya adalah persoalan cabang daripada soalan SMS tadi. Saya tidak tahu samada Suki bersetuju atau tidak jika saya katakan ianya bukan sunnah. Di sini saya tidak bertujuan mengkritik sunnah pemakaian nabi dikalangan masyarakat Islam. Perkara pokok yang harus diteliti ialah pemahaman maqasid (objektif) di sebalik perbuatan nabi itu atau keseluruhan sunnah dalam memahami sunnah dan dalil-dalil syariat Islam keseluruhannya. Untuk memahaminya, banyak faktor perlu diperhatikan antaranya faktor sejarah, budaya, politik, ekonomi dan segenap aspek lainnya.

Ambillah dalil yang selalu disebut-sebut iaitu galakkan nabi kepada sahabat-sahabatnya agar memakai jubah dan serban ketika sembahyang (Suki mungkin dapat mengemukakan nasnya). Sebab-sebab nabi berkata begitu kerana yang dihadapannya adalah masyarakat Arab, memakai jubah, menaiki unta dan budayanya adalah Arab! Ketika itu, sekiranya seseorang keluar rumah tidak memakai sebarang serban atau penutup kepala, dia akan dikira kurang siuman. Maka digalakkan memakai (tidaklah sampai diwajibkan pula) dengan tujuan ketika menunaikan sembahyang biarlah dalam keadaan baik dan sederhana, tidak selekeh. Tujuan ini bukan sekadar untuk menunaikan sembahyang sahaja malahan dalam keadaan apa sekalipun.

Jadi, sunnah itu bukannya meniru sembarono begitu sahaja. Sunnah bukan ‘literal meaning’ semata. Sunnah adalah maqasidnya. Memahami faktor-faktor budaya dan objektif (sebab-musabab) terbitnya hadith itu sangat penting dalam memahami agar kita tidak keliru apatah lagi jika menimbulkan kesulitan untuk melaksanakan. Lebih malang mereka yang membunuh orang-orang bukan Islam atas ayat quran "Bunuhlah orang-orang kafir", lantaran difahaminya secara ‘literal’ ayat ini.

p/s: gambar di atas adalah sekadar hiasan.

Kita dengan Islam: tumbuh tiada berbuah*.

"Kita Dengan Islam" adalah karangan Prof. Syed Hussein Alatas. Buku cetakan Pustaka Nasional, Singapura ini terbit pada tahun 1979. Ianya amat penting kepada mereka yang ingin memulakan pencarian dalam 'worldview' Islam. Buku ini sederhana panjangnya dan sesuai untuk bacaan umum.

Alatas mememulakan penulisannya dengan melontarkan persoalan-persoalan idealisme Islam dan praktikalnya. Umat Islam sering mendengar seruan agar kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Persoalannya, bagaimana? Ayat-ayat al-Quran banyak yang berbentuk umum, kadang-kadang sukar difahami. Sebagai contoh firman Allah yang bermaksud: "Taatilah Allah dan juga taatilah rasul dan ulil-amr (pemimpin) dari kalangan kamu". Ketaatan kepada Allah dan Rasul sudah pasti diyakini oleh semua. Berbeza dengan pemimpin. Pemimpin ramai. Sifatnya juga pelbagai. Ada yang demokratik. Ada yang tirani. Pemimpin yang bagaimana? Dalam aspek apa yang harus mereka diikuti? Inilah antara contoh persoalan yang diluncurkan Alatas agar difikirkan bersama dalam memahami Islam. Alatas tidak mencampakkan was-was jauh sekali hasutan kepada umat akan tetapi beliau mengajak kita berfikir bagaimana memahami Islam dan apakah methodology dalam memahami perintah Quran dan Hadith.

Buku ini amat menarik kerana Alatas membuka ruang minda pembaca dengan membawa kita menelusuri Islam dari sudut yang lebih luas. Bertepatan dengan keahliannya dalam sains sosiologi, beliau menerapkan pembacaan sains sosiolog dan falsafah dalam beberapa perkara pokok tentang prinsipal-prinsipal Islam seperti absolutisme dan relativisme dalam Islam. Perkara ini dibincang panjang lebar dalam bab permulaan. Setelah membincangkan prinsipal-prinsipal, Alatas mengupas aspek-aspek hubungkait Islam dan kehidupan seperti kemasyarakatan, seni sastera dan lain-lain. Apa yang dapat saya fahami, dalam bab-bab pertengahan, beliau menyentuh secara tidak langsung soal uniformity Islam. Pandangan popular dalam masyarakat Islam ialah Islam telah wujud dalam bentuk-bentuk yang telah tersedia seperti pakej; seni Islam, ilmu Islam dan sebagainya; namun ianya telah dicetuskan daripada indoktrinisasi tokoh-tokoh tertentu. Alatas cuba mengajak kita berfikir kerelevanan uniformiti ini. Dalam bab-bab akhir Alatas menghuraikan apa yang telah disebut beliau dalam pengantarnya beberapa contoh 'manusia lama' dan 'manusia baru' dari tokoh muslim. Manusia lama yang disebutnya merujuk kepada figur-figur yang membawa pemikiran lama, fundemantal, serta statik. Antara manusia lama yang disebut oleh Alatas ialah Maududi, Abul-Hassan Ali Al-Nadwi, Muhammad Asad, Muhammad Qutb dan lain-lain. Manakala manusia baru ialah figur-figur yang membuka luas pemikiran umat dalam membangun nilai-nilai budaya. Beliau mengambil beberapa contoh iaitu Muhammad Natsir (Perdana Menteri pertama Indonesia), Soekarno (sebelum revolusi)–Presiden pertama Indonesia– dan Sutan Syahrir.

Keseluruhannya, buku ini amat penting bagi setiap umat khususnya mereka yang begitu yakin dengan doktrin yang dianutnya. Adakah doktrin yang dianut itu benar-benar substan? Atau doktrin itu sebenarnya suatu taklid tanpa diselidiki dengan mendalam? Buku ini saya kenali sekitar tahun 2004. Kalau dikirakan agak lewat kerana buku ini sudah 25 tahun diterbitkan ketika saya mengenalinya. Agak terkilan kerana buku ini sudah 'out of print'. Saya tidak tahu kenapa ianya sudah tidak diterbitkan lagi. Adakah tidak mendapat sambutan atau dipulaukan oleh golongan tertentu. Saya menyarankan semua lapisan masyarakat Islam membaca buku ini, daripada ilmuwan, usahawan, pekerja-pekerja, ahli-ahli gerakan Islam khusunya, agar terbuka pandangan akal kepada dunia yang begitu luas dan banyak khazanahnya. Walaupun sudah out of print, buku ini masih boleh didapati di beberapa perpustakaan. Saya percaya ia ada di rak perpustakaan-perpustakan awam setiap negeri. Secara peribadi, buku ini telah mengubah cara berfikir saya.

*dipinjam daripada nama buku karangan Prof. Syed Hussein Alatas, "Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah", Pustaka Nasional Singapura, 1979.

Thursday, April 27, 2006

Anda semua dialu-alukan

Setiap manusia punya akal fikiran yang sememangnya tidak berdosa. Hanya setelah ia dibaurkan dengan nafsu amarah serta pengabaian pada kebaikan akan mendorong manusia itu melakukan pensia-siaan atau kejahatan. Tiada salah berfikir atau berdosa dengannya sehinggalah diterjemahkan dengan perbuatan maka sesudah itu hasilnya samada baik atau keji. "Tidakkah kamu berfikir?" al-Quran.

Saya amat mengalu-alukan apa sahaja buah fikiran dan pendapat daripada semua pembaca. Zahirkan seikhlas mungkin tanpa ketakutan.